UMNO 74 Tahun: Rentak Parti Perlu Berubah Demi Relevensi & Politik Alaf Baharu – Shahril

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, rentak UMNO tidak boleh bergantung kepada benda yang lama dan ia harus mencari perkara yang baru untuk parti terus kekal relevan seterusnya menarik perhatian anak muda.

Jelas beliau, UMNO harus menggunakan pencapaian lampau sebagai landasan melonjakkan parti ke alaf baru dan politik baru.

“Bagaimana politik baru? Politik barunya yang berasaskan perjuangan asas kita A BA TA, bagaimana mahu mencapai kemajuan agama, bangsa dan negara dalam keadaan sekarang?

“UMNO boleh bangga dengan pencapaian tanpa perlu bergantung harap dengan keadaan lampau. Segala macam pencapaian negara tidak boleh diasingkan dengan pencapaian UMNO itu sendiri kerana UMNO sinonim dengan pemerintahan dan petadbiran negara.

“Walaupun ia berbeza antara pentadbiran kerajaan dan parti tetapi ia sinonim… ia sinonim dengan dasar ekonomi baru, sinonim dengan Tabung Haji, sinonim dengan PNB, MARA… ia sinonim dengan pelbagai pencapaian negara dan bangsa Melayu yang kita sedikit pun tidak boleh lupa namun pada masa yang sama UMNO kena cari jalan agar tidak bergantung pada neratif tersebut kerana keadaan sudah berubah,” ujar beliau.

Shahril berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas menjelang ulang tahun UMNO 74 tahun yang bertajuk ‘Relevensi UMNO & Politik Alaf Baharu’ anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Mengulas lebih lanjut ujar Shahril, jika dulu kemajuan negara adalah memerdekakan negara, kemajuan bangsa itu adalah untuk memastikan orang Melayu tidak terpinggir sebagaimana tahun 1970-an dalam ekonomi negara tapi sekarang ini ia berubah sedikit, lebih kepada teknologi masa depan dan kepada bagaimana orang Melayu mahu bersaing dalam persada antarabangsa serta bagaimana orang Melayu boleh yakin dengan kemampuan sendiri.

“Walaupun kita pribumi bumiputera dalam negara ini tapi kita yakin dan percaya boleh bersaing di persada antarabangsa. Ini antara perkara yang tidak selesai lagi.

“Maka, politik alaf baru yang saya katakan tadi, keutamaannya adalah belajar ketika kita menjadi pembangkang dan pengalaman kalah (PRU-14), segala kesilapan kita perbetulkan dan bawa ke hadapan.

“Kedua, fokus UMNO ke arah masa depan iaitu masa depan politik dan ekonomi negara. Melihat krisis yang dihadapi sekarang, suka tidak suka, inilah yang menjadi pertimbangan utama rakyat,” ujar beliau lagi.

Maka tegas Shahril, UMNO perlu berorentasikan rakyat iaitu UMNO perlu lihat apa yang rakyat fokus, apa yang menjadi isu besar kepada rakyat dan bukan apa yang menjadi isu besar kepada UMNO kerana apa yang rakyat mahu, adakalanya tidak sama dengan pertimbangan dan politik UMNO itu sendiri.

“Jika perlu UMNO mengimbangi kedua-dua tetapi jika terpaksa memilih, ia harus beratkan apa kehendak rakyat,” katanya lagi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.