UMNO 74 Tahun: Perkukuh UMNO Demi Keyakinan Rakyat, Kembali Sebagai Parti Yang Memayungi Negara

 

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Menjelang tarikh ulang tahun penubuhan UMNO ke-74, ahli-ahli parti diseru untuk memperkukuhkan parti dengan usaha untuk mengembalikan UMNO pada kedudukan asal iaitu sebagai parti yang memayungi dan menunjangi bukan sahaja umat Melayu dan Islam tetapi juga rakyat keseluruhan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Jelasnya, tahun ini adalah tahun yang cukup mencabar kerana kita diuji dalam banyak suasana iaitu suasana politik, suasana keadaan dunia juga tidak terkecuali dengan penularan COVID-19 yang banyak memberi pengajaran

“UMNO seperti mana pada waktu-waktu yang lalu telah melalui pelbagai bentuk ujian dan hari yang amat penting sekarang ini, ahli-ahli UMNO gunalah kesempatan pada hari ini untuk kita perkukuhkan ukhwah kita… untuk kebersatuan yang lebih ampuh dan kuat dan mudah-mudahan UMNO akan dapat melayari kehidupan yang lebih panjang sepanjang tempoh 74 tahun sebelum ini,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas kepada UMNO-Online.

Berhubung dengan kedudukan UMNO yang hari ini kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan setelah 22 tahun bergelar pembangkang, katanya rakyat secara umum berasa lega.

“Rakyat secara umumnya berasa lega kerana kita telah lihat bahawa sebuah kerajaan tanpa Dap akhirnya tercapai namun ia bukanlah pengakhiran kepada pencapaian kita kerana banyak lagi yang perlu diisi oleh UMNO.

“Dalam suasana sekarang ini ialah ahli-ahli yang berada di bawah telah diberi peluang untuk bersama dalam memimpin negara tapi apa yang lebih penting adalah perlu perkukuhkan UMNO, kembalikan UMNO asal yang dulu iaitu UMNO yang memerintah, memimpin, UMNO yang membawa satu perasan yang memberikan keyakinan kepada semua rakyat dapat dizahirkan semula dan akhirnya UMNO dapat menjadi sebuah parti yang kukuh dan kuat untuk menelusuri hari-hari seterusnya.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO yang ke-74,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.