Ulang Tahun UMNO Ke-74: Satu Norma Baru Kehidupan… Perkukuh Parti, Pererat Silaturrahim

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei – UMNO akan menyambut ulang tahunnya penubuhannya yang ke-74 pada 11 Mei depan namun pada tahun ini suasananya agak kelainan kerana negara sekarang dilanda wabak COVID-19 dan tidak sepertimana tahun-tahun sebelum ini.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, sambutan ulang tahun UMNO pada tahun ini cukup berbeza kerana ahli UMNO harus hidup dengan satu kehidupan yang baru akibat pandemik COVID-19.

“Walaupun kita berhadapan dengan COVID-19 yang begitu getir dan dengan ‘new norma’ ataupun satu kebiasaan yang baru tetapi kita harap supaya UMNO terus kukuh dan kita dapat rapatkan lagi silaturahim untuk pastikan bahawa PRU-15 nanti kita masih kekal menjadi kerajaan.

“Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-74 tahun dan pada tahun ini kita agak berbeza kerana UMNO telah menjadi sebahagian daripada kerajaan setelah dua tahun kita menjadi pembangkang,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata ulang tahun UMNO kali ini amat berlainan kerana UMNO sekarang berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah menjadi pembangkang selama 22 bulan.

“Sudah pasti ia merupakan satu cabaran yang besar kepada UMNO khususnya dan juga parti-parti kerajaan yang lain kerana apabila kita berada dalam kerajaan sudah tentulah cabaran untuk memenuhi sesuatu kehendak rakyat begitu besar sekali dan kita mengharapkan supaya sepanjang tempoh PKP ini rakyat di seluruh negara dapat mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Pada ketika ini kita berada dalam kerajaan PN dan sudah pasti sebaik mengambil semula kerajaan dan juga negara, kita dilanda wabak COVID-19 dan PKP telah dilaksanakan,” katanya.

Khusairi yang juga ahli MKT UMNO turut berkata perayaan UMNO yang ke-74 tahun pada kali ini sudah pasti tidak disambut seperti biasa kerana tempoh PKP yang masih lagi berlangsung ketika ini.

“Apa-apa pun saya harap supaya UMNO dapat terus berkhidmat kepada rakyat… insya-Allah dan saya mengucapkan selamat menyambut kelahiran UMNO yang ke-74 tahun,” jelas beliau.

Dalam hal ini, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang juga ahli MKT turut senada apabila berkata tahun ini ulang tahun UMNO berbeza seperti tahun-tahun yang sebelum ini kerana negara dilanda dengan satu ujian iaitu wabak COVID-19.

“Saya doakan agar semua ahli-ahli UMNO seluruh negara agar kekal sihat, tenang dan duduk di rumah menyambut kelahiran UMNO bersama keluarga dan juga rakan-rakan di kawasan rumah dan sahabat-sahabt tanpa meninggalkan tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO dan juga rakyat Malaysia iaitu kena kekalkan ‘sosial distancing’ dan kekal menjaga kebersihan diri kita.

“Apa-apa pun kita doakan kepada seluruh ahli UMNO seluruh negara, kekalkan semangat, perpaduan, kekalkan nadi kita dan teruskan majukan bersama UMNO ke arah parti yang lebih kuat dan kukuh,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.