Tiada Caj Tambahan: Menteri Kewangan Buat Keputusan Betul, Memihak Rakyat Terbanyak – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syabas kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana membuat keputusan yang betul dan memihak rakyat terbanyak.

Ahmad Zahid memberi respon demikian mengenai kenyataan terbaharu Tengku Zafrul petang tadi bahawa tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan ke atas moratorium bagi enam bulan penangguhan bayaran ansuran perjanjian sewa beli.

“Tindakan ini akan memberi manfaat kepada ramai rakyat yang ada membuat pinjaman sewa beli di mana mereka bukan sahaja akan ada wang tambahan di tangan untuk membuat perbelanjaan sepanjang tempoh moratorium, malah mereka tidak akan ‘didenda’ dengan dikenakan caj tambahan kerana mengambil opsyen itu,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid lagi, dengan adanya wang lebih di tangan peminjam yang mengambil moratorium tersebut juga boleh digunakan mereka bagi perbelanjaan kehidupan seharian dan akan berkitar dalam ekonomi.

“Walaupun wang tersebut bukannya dari pihak kerajaan, tetapi impak dari pertambahan perbelanjaan yang berlaku dapat sedikit sebanyak merancakkan ekonomi domestik.

“Ia akan memanfaatkan ramai pihak,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggesa pihak bank berlapang dada memberi pengecualian faedah kepada rakyat yang mengambil moratorium sebagai tanda sepakat menghadapi COVID-19.

Jelasnya, ini berikutan tindakan kerajaan yang bersedia memberi pengecualian cukai kepada institusi kewangan sepanjang tempoh moratorium. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.