Kes Arwah Adib, Semoga AG Baharu Beri Keadilan Sebaiknya – Shahrir

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berharap agar Peguam Negara (AG) yang baharu, Tan Sri Idrus Harun boleh membantu dalam memberikan keadilan kepada kaum keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim.

Ulas Shahrir, adalah tidak adil apabila AG Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Tan Sri Tommy Thomas memandang remeh terhadap kes rusuhan di kuil Ladang Seafield, Subang, Selangor sehingga mengakibatkan kecederaan parah kepada seorang penjawat awam hingga membawa kematian.

“Apatah lagi apabila ianya melibatkan anggota bomba yang hadir di tengah-tengah rusuhan itu semata-mata untuk membantu dan menyelamat.

“Sekarang sudah ada AG baharu. Insya-Allah akan adanya perubahan sikap Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap kes ini,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dilaporkan semalam, bapa kepada anggota bomba itu, Mohd Kassim Abdul Hamid kemukakan representasi kepada Idrus, bagi mendapatkan pendirian AGC berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap Thomas selaku AG sebelum ini.

Peguam Aidil Khalid, yang mewakili Mohd Kassim berkata, representasi itu adalah bagi mendapatkan pendirian terkini AGC susulan pertukaran AG pada 6 Mac lalu, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas AG, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.

Selanjutnya ulas Shahrir, mungkin pada pandangan AG PH itu sebelum ini, kes arwah Adib tidak sama glamor dan melibatkan konsep keadilan bertahap tinggi seperti kes rasuah Lim Guan Eng dan kes keselamatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Tapi saya berharap AG baru akan memberi pertimbangan sama berat kepada kes yang melibatkan penjawat awam berpangkat rendah ini.

“Barulah adil tu. Keadilan adalah sama untuk semua. Sepatutnya, Insya-Allah,” tambahnya. – UMNO ONLINE