Pembentukan Kerajaan PN, Pengorbanan UMNO Terlalu Besar

KUALA LUMPUR, 5 Mei – UMNO banyak membuat pengorbanan dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada dari segi pembahagian jumlah kerusi kabinet dan kekananan, jawatan di syarikat berkaitan kerajaan serta yang paling penting meminta supaya kes-kes mahkamah tidak digugurkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata perkara tersebut membuktikan UMNO sememangnya berjiwa besar kerana lebih melihat kepada kepentingan yang lebih utama.

“..ini adalah perkara-perkara berjiwa besar yang dilakukan oleh UMNO, mungkin kalau saya kata orang kata ‘masuk bakul angkat sendiri’, tetapi kena faham UMNO biasa memenuhi semua jawatan, hari ini terpaksa berkongsi tetapi tidak sampai mengugut, merajuk kerana kepentingan yang lebih besar diletakkan di hadapan.

“Begitu juga dengan ‘rule of law’, jarang pemimpin UMNO yang mengheret kes ke jalan raya, sebagaimana kes bekas Perdana Menteri yang meminta rakyat bertenang, doakannya. Dia berhadapan secara ‘gentleman’ menang kalah salah tidak itu cerita lain, tetapi keputusannya itu tidak mengheret kepada satu suasana yang kucar-kacir.

“Begitu juga dengan Presiden UMNO dan beberapa pemimpin yang berhadapan dengan kes mahkamah yang hari ini tidak ada cerita kes mereka digugurkan, mungkin penangguhan berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kes masih berjalan,” ujarnya lagi.

Razali berkata demikian di segmen Politik Alaf Baharu sempena Hari UMNO 74 Tahun dengan topik Perubahan Lanskap Politik Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Isnin malam.

Jelasnya, walaupun pimpinan UMNO ditekan dengan pelbagai cara oleh kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) satu ketika dahulu, jelas kelihatan tidak ada satu pun UMNO masuk campur walaupun kini berada dalam sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa.

Begitu juga dengan pengorbanan UMNO seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, walaupun UMNO dan Muafakat Nasional (MN) berada di kemuncak, tetapi UMNO tetap memberi laluan kepada rakan partinya untuk bertanding di situ dan memberi sokongan, katanya lagi.

Manakala seorang lagi ahli panel, Azmi Hassan, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan bukan sahaja pengorbanan yang dipamerkan oleh UMNO itu sendiri tetapi sebenarnya UMNO banyak bertolak ansur.

“..dan itu adalah hakikatnya kalau kita lihat jawatan-jawatan yang diberi dalam kerajaan.

“UMNO yang berada di dalam PN ini, gunakan sebaik-baiknya untuk membuktikan bahawa menteri, timbalan menteri mereka adalah beza dengan apa yang dipamerkan oleh yang lain…bekerja untuk rakyat,” ujarnya.

UMNO juga katanya jangan terpalit dengan permainan politik PH dan rakyat secara umumnya amat menghargai kepimpinan tertinggi UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.