Melaka Perhalusi PKPB Ikut Acuan Negeri – Ketua Menteri

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Ali berkata, Melaka telah memutuskan untuk mengikut langkah kerajaan pusat dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun ianya harus diperhalusi mengikut acuan negeri.

Jelas beliau, Melaka harus mengangkat semula eonomi negeri selain membantu golongan yang terjejas teruk seperti golongan B40.

“Kita lihat, bila PKPB dilaksanakan, ramai yang beratur panjang di kedai pajak gadai. Ini menunjukkan ramai yang terjejas sejak PKP dilaksanakan.

“Sebab itu Melaka telah memperhalusi PKPB ini dengan mengikut acuan kita. Selain sektor pembuatan dibenarkan bergerak, ada juga bidang lain dibenarkan berniaga. Contohnya, golongan B40 dibenarkan berniaga depan rumah dengan syarat mesti patuhi SOP KKM.

“Kita faham pendapatan mereka terjejas. Kit makanan yang diberi tidak boleh bertahan lama, jadi kita benarkan berniaga tetapi bersyarat iaitu patuhi SOP KKM,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Hello Hello bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lebih lanjut Sulaiman berkata, Melaka juga telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan sektor pelancongan negeri dapat dipulihkan.

“Melaka ini dikenali sebagai negeri pelancongan dan pelaburan perindustrian… perindustrian ini saya tidak berapa bimbang tapi pelancongan memang terjejas teruk.

“Menara Taming Sari tidak ada pengunjung. Jangan kata pengunjung luar, pengunjung tempatanpun tidak berani. Jadi kita sudah memikirkan beberapa langkah bagaimana nak pulihkan sektor pelancongan ini,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, seorang lagi tetamu jemputan dalam segmen tersebut, penggiat seni Datuk Hattan turut menjelaskan bahawa dunia hiburan juga terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan.

“Dunia artis sangat terkesan. Dunia hiburan ini kena ada orang ramai baru ada sumber pendapatan. Sekarang kita hanya harap platform digital tapi tak cukup… artis ini ‘parti gerakan’… tak gerak tak makan,” ujar beliau. UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.