Pemandu Mabuk : Zahid Gesa Kerajaan Segera Pinda Undang-Undang Sedia Ada

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar kerajaan segera meminda undang-undang sedia ada bagi mengelakkan pemandu mabuk membunuh mangsa yang tidak berdosa.

Menurut beliau negara ini memerlukan undang-undang yang lebih tegas dalam mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dan memastikan tiada sebarang kecuaian yang boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan kepada pihak yang tidak berdosa.

“Saya menyarankan agar kerajaan mengambil langkah segera dan proaktif dengan meminda undang-undang sedia ada di dalam Kanun Keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memasukkan hukuman yang lebih berat kepada pemandu-pemandu mabuk yang cuai dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada pihak yang tidak berdosa agar ianya dapat memberi pengajaran seumur hidup kepada mereka serta peringatan kepada pihak lain.

“Hukuman-hukuman seperti digantung lesen seumur hidup, penjara seumur hidup, rotan dan hukuman bunuh adalah antara bentuk hukuman yang telah diamalkan di beberapa negara luar terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada pihak ketiga dan ianya terbukti berkesan di negara tersebut,” katanya menerusi catatan di facebook, di sini, hari ini.

Selain itu Ahmad Zahid turut mengusulkan agar Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen kesedaran ‘Hidup Bukan Permainan, Jika Mabuk Jangan Memandu’.

Tambah Zahid lagi negara ini sama sekali tidak menghalang masyarakat bukan beragama Islam dari meminum arak kerana menghormati amalan dan budaya mereka yang menjadi tunjang kepada keamanan selama ini.

“Walaubagaimanapun, mereka perlulah berdisiplin serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengelakkan dari memandu di dalam keadaan mabuk yang boleh memudaratkan pihak lain yang tidak berdosa,” ujarnya.

Menerusi catatanya itu juga, Ahmad Zahid turut menyenaraikan beberapa kes yang telah berlaku sebelum ini.

Kejadian menyayat Subuh Ramadhan Ahad pagi dan beberapa tragedi langgar maut menuntut kita segera membuat pindaan rang undang undang jalanraya bagi mengelakkan kematian rakyat kita yang tidak berdosa di mana antaranya adalah seperti:-
• Hiew Nyuk Wei, 30 tahun (8 Julai 2018)
• Clawence Wong Vun Kit, 21 tahun, (8 Julai 2018)
• Roslinda Isa, 44 tahun (16 Jun 2019)
• Saidi Dollah, 52 tahun (9 Julai 2019)
• Muhammad Amin Najmi Azaman, 19 tahun (11 Febuari 2020)
• Yusuf Hussin, 42 tahun (10 Febuari 2020)
• Zuriana Hasan, 36 tahun (9 Febuari 2020 kemalangan, 5 April 2020 meninggal dunia)
• Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun (3 Mei 2020)
* Ini hanya sebahagian kematian dilaporkan oleh media. – UMNO Online