Fasa Pemulihan Ekonomi : Kenapa Tiada Konsensus Semua Negeri?

KUALA LUMPUR, 4.Mei – Keputusan kerajaan untuk ‘restart’ hampir keseluruhan sektor ekonomi melalui strategi pelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mendapat reaksi yang pelbagai, namun keputusan beberapa kerajaan negeri adalah diluar jangkaan.

Kebanyakan Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan saranan Kerajaan Pusat dan negeri-negeri tersebut mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sektor perniagaan dan perdagangan beroperasi seperti yang disarankan kerana tiadanya ‘a soft landing exit strategy’.

Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, walaupun keputusan kerajaan pusat dalam hal ini diyakini telah dibuat dengan mendapatkan nasihat saintifik terbaik serta berpandukan data yang meyakinkan, namun strategi pelaksanaanya adalah tidak kemas dan inklusif.

Menurut beliau satu masalah nyata ialah kegagalan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua Kerajaan Negeri sebelum keputusan tersebut diumumkan.

“Adalah sangat penting untuk keputusan sepenting ini di bawa ke perbincangan dengan semua Kerajaan Negeri untuk mendapatkan persetujuan semua. Namun ia jelas tidak dilaksanakan.

“Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan.

Tetapi yang lebih terkesan tambahnya ialah kewibawaan Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara.

“Apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perikatan Nasional. Kabinet Perikatan Nasional mesti mengambil teladan dari insiden ini. Naratif baru dalam sistem federalisme kita telah muncul.

“Hubungan Kerajaan Pusat dengan Negeri-Negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘the new normal’. Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada Kerajaan Pusat telah berakhir,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh : Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.