Lebih 3,000 Pelajar IPT Dihantar Pulang Hari Ini – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 30 April – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menghantar pulang seramai 3,194 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lagi melibatkan pergerakan intra-zon hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, pergerakan itu melibatkan empat zon iaitu Zon Timur ke dalam Zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Zon Perak ke dalam Zon Perak, Zon Selatan ke dalam Zon Selatan (Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka) dan Zon Sarawak ke dalam Zon Sarawak.

Beliau berkata KPT akan menghantar pulang 1,029 pelajar di Zon Timur, 519 pelajar di sekitar Perak, 1,366 pelajar dalam Zon Selatan ke Zon Selatan dan 280 pelajar dalam Zon Sarawak ke Zon Sarawak.

“Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar terlibat di Ibu Pejabat Polis atau Pejabat Daerah yang telah dikenal pasti.

“Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan dilakukan oleh agensi kerajaan yang terlibat,” katanya pada sidang media harian berkaitan PKP, di sini, hari ini.

pengumuman mengenai kebenaran beroperasi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berserta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tunggulah pengumuman nanti kerana antaranya dari segi kelonggaran yang akan diberikan adalah syarikat-syarikat kecil, PKS juga,” katanya.

Menjawab kegusaran orang ramai mengenai jarak sosial apabila dua individu dibenarkan di dalam satu kenderaan untuk keluar bersama, beliau berkata perkara itu dipertimbangkan setelah mengambil kira graf kes positif COVID-19 yang semakin melandai.

“Bila kita menetapkan seorang dalam satu kenderaan pada peringkat awal, di PKP fasa satu, dua dan tiga, jumlah positif COVID-19 masih terlalu tinggi, dan kita dapat banyak aduan daripada pemandu yang terpaksa bersendirian,” katanya.

Jelasnya, orang ramai juga sentiasa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan ketika berada di pasar raya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.