Limpahan Cahaya Biru Di KL, Putrajaya, Labuan Penghargaan Kepada ‘Frontliner’

KUALA LUMPUR, 29 April – Kementerian
Wilayah Persekutuan (KWP) bakal melaksanakan program penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus berkhidmat untuk rakyat Malaysia dalam menangani wabak coronavirus (COVID-19).

Jelas menterinya Tan Sri Annuar Musa, program yang dikenali sebagai ‘Light It Blue’ atau Limpahan Lampu Biru ini akan diadakan bermula 30 April sehingga 3 Mei 2020 dari 10.30 malam hingga 1.00 pagi.

“Tujuan utama program ini adalah untuk mengucapkan jutaan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat pasukan barisan hadapan, baik di sektor awam, swasta serta sukarelawan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak COVID-19 untuk rakyat Malaysia.

“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan menzahirkan tanda penghargaan dan solidariti kepada semua petugas barisan hadapan negara khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Bagi WP Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekuatan petugas barisan hadapan
termasuk petugas kesihatan dan keselamatan adalah berjumlah 13,126
orang manakala di WP Labuan pula adalah seramai 1,272 orang. Ini termasuk petugas dari KWP, Majlis Keselamatan Negara, DBKL, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain lagi,” jelas beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Annuar, jumlah ini tidak termasuk petugas perubatan dan bukan perubatan di sektor swasta, para sukarelawan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pelaksanaan program ‘Light It Blue’ ini melibatkan bangunan-bangunan
ikonik dan jalan-jalan protokol di WP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Pemilihan warna biru adalah kerana merupakan warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.

“Sebanyak 35 bangunan dan kawasan terpilih dinyalakan dengan lampu biru ini sebagai simbolik penghargaan seluruh rakyat Malaysia kepada petugas barisan hadapan.

“Orang ramai juga digalakkan untuk memasang lampu biru di kediaman
masing-masing tetapi bukan satu kewajiban memandangkan semua pihak
perlu mematuhi arahan semasa PKP. Namun orang ramai boleh berkongsi
kreativiti mereka di laman sosial menggunakan hashtag #LightItBlueWP
dan #LimpahanLampuBiruWP. Ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan barisan hadapan serta diri sendiri yang mengamalkan norma budaya kehidupan baharu, penjarakan sosial dan mengelakkan perkumpulan beramai-ramai dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 ini,” ujar beliau.

Annuar turut melahirkan harapan agar pasukan barisan hadapan negara terus tabah, berdedikasi dan mengekalkan kecemerlangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada para pesakit.

“Kita perlu menang dalam misi ini
dan pasti menang sekiranya semua rakyat bekerjasama untuk kekal berada
di rumah dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” tegas beliau. – UMNO ONLINE