COVID -19 : Keadaan Dan Suasana ‘Abnormal’ Hari Ini Mesti Berakhir – Mohamad

KUALA LUMPUR, 29 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rakyat mesti memerangi pandemic COVID-19 dengan bersungguh-sungguh dan mengembalikan kehidupan lazim seperti biasa.

Menurut beliau Kementerian Kesihatan Malaysia tidak boleh bersendirian memerangi wabak ini untuk semua dan hari ini masing-masing perlu melakukan peranan sebagai individu, masyarakat dan rakyat Malaysia bahawa akhiran wabak ini mesti bermula dari kita.

“Semua orang sekarang menggunakan terma ‘new normal’ bagi menggambarkan kehidupan kita semenjak pandemic coronavirus ini. Kita dinasihat untuk melakukan penyesuaian terhadap ‘a new normal’ ini sehingga vaksin di temui.

“Bagi saya, semua ini adalah ‘a new abnormal’. Dan kita bukan sahaja mesti menyesuaikan diri dengan ‘abnormality’ ini, tetapi mesti segera mengakhiri segala ‘abnormality’ ini.

“Kita harus kembali ke kehidupan yang asasi, lumrah dan tabii. Apa yang kita lalui sekarang adalah sangat ‘abnormal’. Tidak solat berjemaah tidak mungkin akan menjadi ‘a new normal’. Ia adalah ‘abnormality’ yang mesti segera kita akhiri kerana kita sangat rindu dengan masjid, surau dan musolla kita serta para kariahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi tidak boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mereka yang disayangi adalah ‘abnomal’ dan sangat asing.
Malah tambahnya lagi ianya bukan budaya serta cara berkehidupan dan mesti kembali boleh memandi, mengkafan dan melakukan solat terakhir untuk mereka yang sangat dicintai.

“Tidak boleh berterawih dan bermoreh di Masjid semasa Ramadhan adalah asing. Seumur hidup saya, tidak pernah satu Ramadhan yang semua ini tidak dilakukan. Sesungguhnya, seluruh umat Islam sangat merindui Ramadhan yang meriah dengan amal soleh dan dengan ibadah tidak putus-putus serta dilakukan secara bermasyarakat.

“Mulai sekarang, kita fahamkan kepada anak-anak dan keluarga kita, tanpa kebersihan peribadi, pandemic ini tidak akan berakhir. Tanpa penjarakkan sosial, ‘abnormality’ ini akan merampas kehidupan dan kebebasan kita. Sekolah tidak boleh berfungsi, perniagaan lumpuh dan pengangguran akan meningkat,” ujarnya.

Tegas Mohamad kerajaan telah mengumumkan bahawa beberapa sektor ekonomi boleh beroperasi sepenuhnya dan ini adalah sebahagian dari “recovery strategy” yang tepat.

“Saya menyeru agar strategi keseluruhan dan fasa pelaksanaanya segera di umumkan agar kita punya masa untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada rakyat tentang dua perkara. Pertama bagaimana kita harus menyesuaikan diri dengan ‘abnormality’ ini dan kedua, bagaimana kita mesti mengakhirinya.

“Samada PKP ini akan berakhir Mei ini atau tidak, masyarakat mesti segera difahamkan tentang pelbagai ‘recovery strategy’ ini. Sains mempunyai jawapan untuk ‘recovery strategy’ yang berimbang ini. Dapatan sains terkini dan termaju, bukan politik atau pertimbangan lain, mesti menjadi asasnya,” jelasnya.

Jelas beliau lagi ‘Stay home’ tidak boleh menjadi kelaziman baru yang berpanjangan dan ianya akan menjadi sesuatu yang ‘counterproductive’ kerana perniagaan, pekerjaan dan keusahawan mesti diselamatkan.

Katanya persekolahan dan pembelajaran tidak lagi boleh tertunda serta kehidupan beragama, kegiatan sosial dan kelestarian komuniti mesti kembali sesuai adat, budaya dan resam masing-masing.

“Virus ini tidak boleh menenggelamkan tamadun, kemajuan, kebudayaan dan kehidupan beragama dan bermasyarakat kita. Kita hanya ada satu misi waktu ini, iaitu mengalahkan pandemic pathogen dan mengakhiri fasa ‘abnormality’ ini dengan ‘recovery strategy’ yang seimbang, ampuh dan tuntas.

“Hanya dengan kejayaan misi ini, kita akan kembali kepada kehidupan ‘normal’ yang sesuai dengan fitrah, budaya dan citra masyarakat dan agama kita,” tambahnya.- UMNO Online