Kerajaan Perlu Kaji Semula Dasar Terhadap Pelarian Negara Asing – Norshida
KUALA LUMPUR, 28 April – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berpandangan kerajaan perlu mengkaji semula dasar terhadap pelarian dari negara asing yang memasuki Malaysia.
Menurut beliau kerajaan perlu bertindak dengan melihat semula dasar yang sedia ada dari sudut-sudut tertentu seperti layanan, kemampuan kerajaan, punca dan daya tarikan yang mendorong mereka memilih untuk datang ke Malaysia.
“Isu pelarian Rohingya di Malaysia perlu diselesaikan segera supaya tidak menjadi isu keselamatan dan masalah serius buat Negara Malaysia pada masa akan datang, tegasnya.
“Sekiranya pelarian Rohingya yang sedia ada di Malaysia sudah menimbulkan pelbagai masalah, apakah Kerajaan harus terus membantu mereka atau mencari alternatif lain untuk menghantar mereka pulang ke Negara asal mereka.
“Ianya sama seperti layanan terhadap pendatang tanpa izin yang memasuki negara Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah. Perkara sedemikian perlu di selesaikan segera demi untuk memastikan Negara Malaysia tidak menghadapi masalah yang serius pada masa hadapan.
“Kita cuba bayangkan kehidupan mereka di negara asal mereka, dengan keadaan penempatan yang serba kekurangan serta kehidupan daif di tempat asal mereka, pelarian ini patut bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan dan Rakyat Malaysia yang boleh menerima mereka dan bukannya bantahan atau mogok yang di balas kepada Kerajaan dan hinaan kepada masyarat di Negara Malaysia,” katanya menerusi catatan di facebook.
Tambah Norshida Malaysia telah menghadapi masalah kebimbangan Pandemik penularan Covid19 sehingga seluruh rakyat Malaysia terpaksa duduk di rumah masing-masing bagi menyekat penularan wabak tersebut.
Dalam situasi tersebut, ujarnya negara pula di kejutkan dengan isu bantahan dari pelarian Rohingya yang mempunyai kad pelarian UNHCR yang menuntut hak kemanunisiaan dari Kerajaan Malaysia.
“Adakah pelarian ini tidak dilayan dengan baik oleh Kerajaan? Adakah mereka ini cuba mencari populariti di kala Negara Malaysia di landa krisis Pandemik Covid19 yang membawa Negara kepada masalah kelembapan ekonomi dan masalah lain yang perlu diselesaikan oleh pihak Kerajaan.
Tambah Norshida lagi,sebagai rakyat Malaysia perlu ingat bahawa isu pelarian Rohingya adalah masalah antarabangsa dan isu ini mesti diselesaikan dengan segera sebelum ia menjadi lebih parah.
“Tindakan harus dilakukan segera termasuk penghantaran pulang ke negara asal mereka atau pun mana-mana negara yang ingin menerima kehadiran mereka. Kumpulan yang membuat onak duri dalam Negara wajar untuk diambil tindakan oleh Kerajaan untuk menghantar mereka pulang ke Negara asal kerana mereka tidak bersyukur dan berterima kasih terpaksa berpijak di bumi yang nyata.
“Kita juga perlu merenung jauh pengalaman negara dengan pendatang tanpa izin cukup menyusahkan rakyat dari berbagai aspek seperti keselamatan, ekonomi, perniagaan, peluang pekerjaan, masalah sosial dan sebagainya,” katanya.
Justeru, kata Norshida lagi, menampung lebih ramai pelarian akan memberi tekanan kepada sumber kerajaan dan Malaysia, harus utamakan kepentingan rakyat terlebih dahulu dari melayan karenah tuntutan pelarian Rohingya ini.
“Ramai lagi rakyat Malaysia yang masih susah serta miskin yang perlu dibantu oleh Kerajaan. Kerajaan wajib membela rakyat Malaysia terlebih dahulu dari pelarian Rohingya ini.
“Dari segi aspek kemanusiaan pula, kerajaan selama ini telah memberi pelbagai kemudahan dan bantuan kemanusiaan kepada pelarian ini. Jadi mereka patut bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat dan negara Malaysia. – UMNO Online