Bekas Pesakit COVID-19 Kongsi Pengalaman dan Pandangan Bersama Zahid

KUALA LUMPUR, 28 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat semangat serta apa yang ditunjukkan oleh bekas pesakit COVID-19, Reza Huzairi Zainudin boleh memberikan semangat serta contoh kepada seluruh rakyat khususnya dalam mendepani wabak pandemik berkenaan.

Menurut beliau Reza difahamkan banyak membantu Kementerian Kesihatan menerusi pelbagai pelaksanaan termasuklah ‘motivator’ dan juga berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit Covid- 19.

“Beliau mungkin boleh dijadikan ‘testimoni’ kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mereka yang dijangkiti ataupun yang agak ‘degil’ yang tidak mematuhi PKP ini agar dapat mengambil nasihat daripada Reza.

“Alhamdulillah…beliau telah pulih sepenuhnya dan kami mendoakan agar beliau menjadi ikon dan memberikan motivasi kepada pesakit-pesakit yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Live FB zahidhamidi.fanpage, Hello Bersama Presiden UMNO Malaysia yang menampilkan bekas pesakit COVID -19, Reza Huzairi Zainuddin serta pelawak tanah air, Shahrol Shiro.

Sementera itu bekas pesakit COVID-19, Reza Huzairi Zainuddin menerusi telesidang itu menyatakan bahawa beliau banyak membantu KKM sebagai motivasi kepada pesakit-pesakit COVID-19 serta menyumbang Plasma untuk di ujikaji.

“Saya telah pergi dua kali untuk ‘donate’ plasma yang mana plasma itu mempunyai antibodi COVID-19. Plasma antibodi COVID-19 ini hanya diangkat dari bekas pesakit COVID-19 yang sedang baik.

“Jadi badan kita yang mempunyai antibodi diambil supaya dikaji sama ada sesuai diberikan kepada pesakit COVID -19 agar dapat membantu pesakit-pesakit yang kronik dan kami dapat membantu dengan cara sebegitu,” ujarnya.

Dalam pada itu Shahrol Shiro yang turut serta dalam program berkenaan berkata beliau turut terkesan dengan wabak COVID-19 yang melanda negara hari ini dan turut bersama dengan NGO serta pemandu Food Panda memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya bersama-sama NGO banyak bergerak memberi bantuan dan terus memberi bantuan kepada ‘Frontliners’ dan apa yang terkesan adalah penduduk-penduduk kampung.

“Bantuan untuk ke kampung-kampung agak susah, saya menggunakan khidmat ‘rider-rider food panda’ untuk terus bagi yang memerlukan dan banyak bantuan telah disalurkan kepada mereka dan sehingga sekarang ini cuba mendapatkan bantuan dan memberikan kepada yang memerlukan,” ujarnya –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.