Terus Patuhi Arahan… Trend Penurunan Penularan COVID-19 Bukan Alasan Untuk Ingkar PKP

KUALA LUMPUR, 27 April – Rakyat diminta untuk terus patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biarpun jumlah penularan COVID-19 sudah menunjukkan trend penurunan dan negeri-negeri di bahagian Utara diwartakan sebagai zon hijau, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Tegas beliau, pematuhan kepada arahan kerajaan amat penting dalam memastikan negara ini benar-benar akan bebas COVID-19 sepenuhnya.

“Arahan mesti kita patuhi. Memang berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul, berat lagi dugaan ahli keluarga yang lain apabila berdepan dengan cabaran untuk duduk di rumah apatah lagi ada yang tidak dapat berkerja, ada yang berniaga hilang punca pendapatan, ada yang bergaji hari terhenti pendapatan, yang bertugas sebagai ‘frontliners’, yang berisiko merawat pesakit, berpisah dengan ahli keluarga, menjadi ‘runner’ bagi menampung keluarga, majikan yang tiada pendapatan tetapi mempunyai tanggungan pekerja yang perlu di sara termasuklah sahabat yang telah meninggalkan kita buat selamanya,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelas beliau, sedaya yang mungkin bantuan akan disalurkan kepada rakyat bagi membantu meringankan beban sebagaimana usaha kerajaan untuk memastikan ‘no one left behind’.

“Kita juga perlu terus mengamalkan disiplin diri daripada segi kesihatan agar jangkitan dapat dikekang dan terus membiasakan dengan normal hidup baru kerana segala aktiviti ekonomi dan kegiatan harian rakyat ketika ini adalah masih tertakluk dengan pematuhan PKP,” katanya.

Terdahulu beliau turut melahirkan simpati terhadap rakyat yang terlibat dalam bencana banjir sehingga terpaksa dipindahkan ke kawasan selamat.

“Hujan lebat di Bandar Baharu petang semalam telah menyebabkan banjir berlaku sehinggakan lima keluarga telah dipindahkan dengan bantuan pihak bomba dan dalam tempoh PKP ini penjarakkan sosial tetap perlu dipatuhi.

“Alhamdulillah segala urusan penempatan di sekolah SK Sungai Batu selesai dengan kebenaran dan bantuan pihak sekolah, pejabat daerah, bomba , PDRM di samping bantuan urusan peralatan memasak dan barangan keperluan dapur keperluan asas disediakan oleh para sahabat di kampung dan juga JKM.

“Terima kasih dengan kerjasama semua pihak bagi membantu keluarga yang terlibat sebagai mangsa banjir. Sudahlah PKP, bulan Ramadan pula dan diuji lagi dengan bencana banjir. Semoga segala dugaan dan ujian ini ada hikmah dan rahmat di sebaliknya,” katanya lagi.

Dilaporkan, sehingga semalam jumlah kumulatif kes pulih dan discaj di Malaysia ialah 3,862 kes, iaitu 66.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala tidak ada kes kematian dilaporkan semalam dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.