Kerajaan BN Bantu Pelarian Rohingya Atas Dasar Kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 27 April – Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan telah membuat keputusan untuk membantu pelarian Rohingya atas dasar perikemanusiaan, tegas Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beberapa keputusan telah dibuat oleh jawatankuasa tertinggi yang beliau pengerusikan ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Beberapa keputusan dibuat antaranya untuk melatih pelarian Rohingya yang berada di Malaysia supaya memperolehi latihan ketrampilan (latihan pekerjaan). Begitu juga persekolahan untuk anak-anak Rohingnya yang berada di Malaysia namun semua kemudahan yang diberikan itu adalah berbentuk sementara kerana mereka akan dihantar kembali ke negara asal setelah negara mereka berada dalam situasi aman damai

“… malah kita telah mencadangkan kepada Junta Tentera Myanmar ketika itu supaya menempatkan pelarian ini semula di kampung halaman masing-masing walaupun rumah mereka telah musnah kerana mereka adalah rakyat negara berkenaan.

“Satu hakikat yang harus kita terima bahawa masyarakat Rohingya yang berada di Malaysia yang memegang kad UNHCR sehingga kini, mereka masih dibenarkan tinggal dan jika memenuhi syarat boleh bekerja sementara dalam pelbagai sektor. Ingat, bahawa mereka adalah pelarian yang terdesak,” tegas beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Selain itu Ahmad Zahid turut menekankan bahawa jawatankuasa kabinet ketika itu juga telah memutuskan melalui UNHCR dan agensi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar perundingan dengan negara ketiga bagi menempatkan pelarian Rohingya ini di negara ketiga secara kekal terus diusahakan.

“Maka latihan yang diberikan dalam bentuk separuh mahir dan mahir diberikan agar mereka dapat terus hidup di negara ketiga untuk mencari pekerjaan berdasarkan latihan yang diberikan, manakala pendidikan untuk anak-anak Rohingya adalah mengikut sukatan negara berkenaan.

“Ini bertujuan supaya jika mereka kembali ke negara asal, mereka akan dapat terus melanjutkan pelajaran di negara berkenaan dan kita tahu anak-anak ini tidak seharusnya dibiarkan menjadi buta huruf walaupun mereka bukan warganegara Malaysia. Segala-gala yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN ketika itu adalah semata-mata berdasarkan perikemanusiaan,” ulas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.