PKP: Hanya 400 Rakyat Malaysia Di Singapura Dibenar Kembali Setiap Hari – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 26 April – Hanya 400 rakyat Malaysia dari Singapura akan diterima masuk ke dalam negara setiap hari melalui kedua-dua pintu masuk, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi melancarkan pergerakan masuk mereka yang terkandas di negara berkenaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasa.

Mereka yang berhasrat pulang juga dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan yang perlu dimohon melalui e-mel [email protected], sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang.

“Permohonan ini telahpun dibuka dan pihak Suruhanjaya Tinggi telah menerima 900 permohonan setakat ini daripada rakyat Malaysia yang berada di republik itu,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sepertimana Prosedur Operasi Standard biasa, mereka yang pulang dari Singapura ini akan dikenakan kuarantin selama 14 hari.

Ditanya sekiranya kerajaan mempunyai perancangan untuk menambahbaik polisi pengambilan pekerja asing sedia ada memandangkan sehingga kini terdapat kita-kita 3.3 juta pekerja asing berdokumen, Ismail Sabri berkata perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

“Jadi kita serahkan kepada kedua-dua kementerian ini untuk perbincangan lanjut. Sekiranya terdapat cadangan untuk menambahbaik polisi, InsyaAllah perkara ini akan dibawa ke kabinet,” katanya yang juga ahli Parlimen Bera.

Rata-rata rakyat negara ini meluahkan kebimbangan berikutan peningkatan kes COVID-19 di Singapura dalam kalangan pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja di negara itu.

Berikutan itu, Singapura mewartakan 12 daripada 20 asrama yang terjejas sebagai kawasan pengasingan dengan majoriti yang dijangkiti wabak itu dari Bangladesh, India, China dan Myanmar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.