Pelajar IPT Mula Pulang Ke Kampung Halaman Masing-masing Esok – Noraini

KUALA LUMPUR, 26 April – Pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik serta Kolej Komuniti dalam zon hijau bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai esok (Isnin).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad memaklumkan bahawa pergerakan ini tidak termasuk pelajar yang berada dalam zon merah dan kuning, atau pulang ke kampung halaman yang berada dalam zon sama.

“Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

“Persiapan rapi sedang dilakukan bagi menghantar para pelajar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Polis Diraja Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di institusi pengajian tinggi yang telah dikenal pasti ke destinasi masing-masing.

Noraini turut menjelaskan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar merupakan keutamaan pihaknya semasa pergerakan itu berlangsung, justeru setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi seorang pegawai perhubungan yang mempunyai senarai lengkap pelajar.

“Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selesema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti sebelum pergerakan pelajar.

“Pelajar diingatkan untuk sentiasa menjaga jarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut di sepanjang perjalanan serta mengamalkan kebersihan dengan memakai pensanitasi tangan,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkaitan garis panduan kepada ibu bapa dan pelajar boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan KPT yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.