Jangan Ambil Mudah Penurunan Kes, Kekal Berada Di Rumah

KUALA LUMPUR, 26 April – Luahan kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap sikap ambil mudah orang ramai, terutama penduduk di kawasan zon hijau COVID-19, nyata memberi gambaran masih ada yang memandang remeh usaha keras kerajaan mengekang pandemik ‘maut’ itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, KKM juga khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat-nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan kerana memikirkan bahawa wabak itu hampir selesai.

Hakikatnya, peperangan kita menentang COVID-19 masih belum menemui titik noktahnya.

Perlu diingat, selagi kerajaan tidak mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka prosedur operasi standard (SOP) serta undang-undang pelaksanaan PKP masih terpakai.

Sehubungan itu, perjuangan Malaysia untuk memerangi COVID-19 memerlukan kerjasama daripada seluruh masyarakat di negara ini bagi memastikan negara benar-benar ‘bersih’ daripada pandemik itu yang mula ‘bertapak’ di negara sejak awal tahun ini.

PKP, yang bermula sejak 18 Mac lepas, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bagi fasa empat bermula 29 April hingga 12 Mei.

Peningkatan kes tangkapan individu ingkar PKP seperti dinyatakan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian semalam, juga menunjukkan masih ada rakyat yang tidak mahu memberikan kerjasama untuk sama-sama memastikan rantaian COVID-19 ini tamat.

Sedangkan barisan hadapan negara masih bertungkus lumus melaksanakan semua langkah perlu dan dalam masa yang sama memenuhi pelbagai kehendak dan keperluan rakyat sepanjang PKP berkuat kuasa.

Janganlah kerana sikap acuh tak acuh ini, akan menjadi faktor utama menyebabkan semua usaha kerajaan menentang penularan COVID-19 selama ini gagal dan tidak bermakna.

Langkah kerajaan melaksanakan PKP bukanlah satu keputusan yang mudah namun keputusan kerajaan melanjutkan PKP ke fasa empat bermula 29 April ini selama dua minggu adalah untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

PKP fasa ketiga yang bakal berakhir Selasa ini mula menampakkan kejayaan apabila kes baharu kekal pada dua digit sejak seminggu lepas selain menyaksikan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dianggap berisiko bertambah kepada tujuh lokasi dan aktiviti pengesanan kes positif dalam komuniti terus diperkasakan.

Begitu juga kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj daripada wad sehingga semalam seramai 99 kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,762 kes sekali gus disifatkan KKM bahawa bilangan kes discaj itu adalah hampir dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan iaitu 51 kes.

Dengan antigen Rapid Test Kit dari Korea Selatan yang dijangka tiba minggu hadapan, kapasiti ujian pengesanan COVID-19 juga akan ditingkatkan kepada 20,000 sehari berbanding 16,000 pada masa sekarang.

Jelas bahawa kerajaan terutama KKM tidak pernah penat dalam usaha memastikan keberhasilan usaha menentang COVID-19 bagi memastikan Malaysia ‘bersih’ daripada ancaman pandemik COVID-19 yang sehingga kini meragut 98 nyawa.

Jika barisan hadapan terus bersemangat sanggup berpanas berhujan dan berembun, masyarakat di negara ini sama sekali tidak mempunyai alasan untuk tidak mematuhi rayuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak pernah penat malah dalam nada kasual setiap kali bersiaran menerusi perutusan khas beliau menyampaikan mesej kepada rakyat untuk duduk di rumah sehingga PKP berakhir.

Tidak banyak yang diminta perdana menteri dengan menggunakan bahasa yang jelas dan mudah: “Saya ingin merayu kepada saudara saudari, tolonglah ‘stay put where you are’. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara saudari terhindar daripada jangkitan COVID-19 dan penularan wabak ini insya-Allah dapat dibendung,” katanya. – BERNAMA