Ada Rakyat Dinafikan Bantuan? UMNO Shah Alam Timbulkan Persoalan Buat Khalid Samad

SHAH ALAM, 26 April – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari tidak menafikan tanggungjawab Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) kawasan tersebut, Khalid Samad yang memberi bantuan kepada rakyat yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Namun katanya, apa yang menjadi persoalan kepadanya, mengapa mereka yang memang memerlukan bantuan tetapi dinafikan hanya disebabkan mereka bukan pengundi di Shah Alam.

“Mungkin Khalid boleh rujuk dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kota Anggerik dan ADUN Batu 3 sekali berkenaan isu ini.

“Saya harap Khalid semak kembali dan salurkan bantuan.

“Sebab ramai ibu-ibu tunggal, OKU (orang kelainan upaya) dan juga keluarga yang hilang sumber pendapatan di musim PKP ini yang mempunyai anak yang ramai sudah mula terputus bekalan makanan,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook.

Azhari juga memberi ingatan kepada Khalid jangan menuduh apa yang didedahkannya sebagai fitnah.

“Kalau tak percaya nanti saya upload satu klip video. Kami bukan macam PH suka memfitnah.

“Ini tugas anda sebagai Ahli Parlimen Shah Alam,” gesanya.

Tegas Azhari lagi, jangan pula menuding jari kepadanya mengapa tidak memberi bantuan.

“Saya bukan Ahli Parlimen Shah Alam dan kami di UMNO Bahagian Shah Alam juga ada beri bantuan mengikut kemampuan kami.

“Rujuk post-post saya sebelum ini kalau tak percaya. Bukan pengundi pun kami beri sumbangan,” katanya.

Azhari turut menasihati Khalid agar jangan sibuk mempolitikkan isu Rohingya dan hendaklah fokus pada kawasannya iaitu membantu rakyat di Shah Alam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.