UMNO Sabah Stabil, Sedia Berunding Dengan Mana-Mana Parti Kecuali Warisan

KUALA LUMPUR, 23 April – UMNO Negeri Sabah masih kekal stabil dan melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberi khidmat kepada rakyat walaupun ada walaupun ada sedikit gelombang, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dalam hal tersebut katanya, UMNO negeri itu sedia berunding dengan mana-mana parti di Sabah yang tidak bersama Warisan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.

Jelas beliau rancangan untuk berunding dengan PPBM Sabah sebelum ini terhalang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.

“Kita akan buat cuma ia terhalang dengan PKP ini. Saya sendiri dengan Pengerusi PPBM (Sabah), Hajiji Mohd Noor akan membuat perbincangan.

“Insya-Allah, kita akan adakan perbincangan dengan PPBM selepas PKP untuk susun strategi berhadapan Warisan dalam PRU nanti.

“UMNO Sabah sedia berunding dengan mana-mana parti yang tidak bersama dengan Warisan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu dalam segmen Khas anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online malam tadi.

Mengulas mengenai kegagalan penyelarasan antara UMNO Sabah dan PPBM Sabah jelas Bung, ini kerana PN ditubuhkan atas kerjasama antara anggota parlimen dan bukan atas dasar parti.

“Inilah yang menjadi antara punca utama PN gagal diselaraskan di peringkat negeri. PN ini diwujudkan untuk membentuk sebuah kerajaan antara Ahli Parlimen, ia bukan atas dasar sokongan parti ke parti,” jelas beliau lebih lanjut.

Selain itu tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, UMNO Sabah tidak mempunyai masa yang cukup untuk membentuk PN di Sabah kerana selepas kerajaan diwujudkan, pandemik COVID-19 telah melanda negara.

Dilaporkan, ekoran penularan COVID-19, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac – 31 Mac untuk fasa pertama dan kini berlanjutan sehingga fasa ketiga. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.