Ramadan Dalam Tempoh PKP Beri Ruang Lebih Masa Umat Islam Amal Ibadat Bersama Keluarga

KUALA LUMPUR, 23 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata daripada satu sudut, menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya memberi peluang untuk masyarakat Islam meluangkan lebih masa untuk beribadat bersama ahli keluarga.

Pada masa yang sama katanya dalam situasi itu juga, ianya akan memberi ebih banyak lagi masa untuk membaca al-Quran serta berzikir sepanjang bulan yang barakah ini serta membolehkan untuk masing-masing bermuhasabah diri.

“Bermuhasabah kerana pada Ramadan sebelum ini mungkin kita tidak menghargai keindahan untuk beribadah di masjid-masjid yang kini sedang ditutup. Sebelum ini, kita berbelanja secara berlebihan di Bazar Ramadan hanya untuk menikmati juadah berbuka yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

“Alhamdulillah, marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya dapat kita sekali lagi diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadan yang mulia. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mengucapkan Selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di seluruh negara dengan satu harapan dan doa iaitu agar dapat terus beribadah dengan sempurna.

Tambahnya Ramadan adalah bulan barakah dan bulan yang mendidik meliputi pendidikan rohani, fizikal dan mental apatah lagi Ramadan tahun ini berlangsung ketika negara sedang diuji oleh Allah S.W.T kerana perlu berhadapan dengan wabak Covid-19.

“Tahun ini, semuanya boleh diperbaiki. Perbaiki dengan lebih mensyukuri nikmat yang kita ada. Andai ini adalah Ramadan terakhir kita, hiasilah ia dengan amal ibadat yang bersungguh-sungguh supaya kita dapat ke alam abadi dengan penuh kegembiraan.

“Ini adalah janji Allah kepada kita seperti yang diriwayatkan di dalam Hadith al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, maka akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.

“Mudah-mudahan, setiap amal soleh yang diamalkan, negara dan negeri kita akan terus dilimpahi berkat, rezeki dan kemakmuran. Amin Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.