COVID-19: Kerajaan Sabah Masih Gagal Bantu Rakyat Dengan Baik

KUALA LUMPUR, 23 April – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun kerajaan negeri Sabah di bawah pentadbiran Parti Warisan mempunyai komitmen untuk melawan wabak COVID-19 ini namun penyalarasan mereka agak gagal.

Jelas beliau, apabila rakyat susah dengan siapa lagi mahu mereka mengadu kalau bukan kerajaan negeri.

“Memang kita tahu semua negeri susah tapi sebagai sebuah kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan maka tidak boleh salahkan rakyat. Kalau kerajaan negeri tidak berkemampuan, janganlah putuskan bantuan secara mutlak.

“Sebab itu rakyat marah bila pemimpin suruh rakyat ikat perut dan jangan terus berharap kepada kerajaan negeri,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen khas anjuran Penerangan UMNO Malaysia malam tadi yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online.

Ketika ditanya mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah, Bung menjelaskan, itu adalah beban berpanjangan bagi negeri itu.

Jelas beliau, selagi ia tidak diselasaikan maka masalah pendatang ini akan berterusan membelengu Sabah.

“Tapi bila timbul masalah pandemik ini, kita harus melihat dari segi kemanusiaan pula. Pendatang ini juga manusia yang memerlukan makanan.

“Jadi, mahu tidak mahu kerajaan negeri juga harus memikirkan bagaimana mahu membantu mereka ini dalam soal bantuan makanan.

“Kita harus mengikut piagam PBB, walaupun mereka pendatang namun menjadi tanggungjawab negeri itu untuk memastikan tidak ada yang kebuluran. Memang tidak dinafikan hak yang sepatutnya diberikan kepada warga tempatan terpaksa diberi kepada pendatang tapi ini soal kemanusian,” ujar beliau.

Bercakap soal UMNO di Sabah, Bung menjelaskan UMNO masih stabil di Sabah walaupun ada sedikit gelombang apabila wujudnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Gelombang ini wujud apabila pemimpin Sabah berasa terkilan apabila tidak ada seorang pun pemimpin UMNO Sabah dipilih dalam senarai pemimpin PN, begitu juga dalam perlantikan GLC.

“Jika hanya PPBM yang menguasai tapi pemimpin UMNO Sabah tidak ada maka bagaimana kita mahu berhadapan dengan PRU-15 nanti,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.