Masyarakat Dan ‘Frontliner’ Saling Memerlukan Putuskan Rantaian COVID -19 – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 21 April – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh yang merupakan salah seorang sukarelawan ‘frontliner’ hari ini berkongsi pengalamannya berada di barisan depan bersama rakan-rakan yang lain mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau yang merupakan pengamal perubatan di Melaka mengharapkan seluruh rakyat bersama-sama membantu para ‘frontliner’ agar patuh kepada arahan kerajaan khususnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya usaha untuk mengekang penularan COVID-19 berjaya.

Menurut beliau, tanpa kerjasama daripada pelbagai pihak percayalah segala usaha yang telah dibuat tidak akan berjaya malah ianya akan tetus mengancam nyawa rakyat keseluruhannya.

“Kasihan kepada rakan-rakan ‘frontliner’ lain yang telah lama bertugas dan masing-masing cukup komited dalam melaksanakan tugas.

“Pengalaman memang satu perkara yang tidak akan dilupakan dalam mengurus serta mengawal selia pesakit-pesakit COVID-19,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini.

Perkara paling membanggakan tambah beliau apabila melihat rakan-rakan lain walaupun penat namun mereka tetap bersemangat memerangi COVID-19.

“Kepada rakan-rakan yang bukan ‘medical line’ kita mempunyai tanggungjawab masing-masing. ‘Frontliner’ tanggungjawab mereka untuk merawat dan sebagainya. Tetapi kalau mengharapkan ‘frontliner’ sahaja maka kita akan kalah peperangan ini.

“Jadi kita perlukan kerjasama yang kuat daripada semua pihak dan seluruh. Kekal di rumah sebab apa COVID-19 ini kita lawan dengan ‘frontliner’ sahaja tidak mencukupi dan mestilah mendapatkan kerjasama daripada semua orang. Terima kasih kepada semua pihak yang bertugas,” ujarnya.

Beliau yang ditempatkan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Titiwangsa dan menamatkan tugasnya semalam, mengakui bertugas di barisan depan merupakan satu tanggungjawab yang mencabar.

Katanya bermula awal bulan Februari hinggalah semalam pelbagai perkara dapat dilihat yang mana masing-masing berhujan, berpanas, kerja dari pagi bawa ke malam semata-mata untuk mempertahankan negara daripada jangkitan wabak tersebut.

“Semalam genap dua minggu saya ditugaskan bersama dgn team ‘frontliner’ Pusat Kesihatan Daerah Titiwangsa. Sejujurnya mereka ini semua adalah insan yang terlalu hebat dan mempunyai semangat yang kental.

“Dan sejujurnya mereka inilah yang selayaknya mendapatkan pujian dan doa daripada anda semua.

“Terima kasih kerana sudi memberi saya peluang untuk belajar dari pengalaman kalian dan berikan saya peluang untuk menjadi sebahagian dari keluarga kalian,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.