Guris Hati Rakyat 22 Bulan, PH Tak Pernah Akui Kesilapan – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 21 April – Manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan termasuk juga para pemimpin negara dan jika individu tersebut mengakui kesilapan ia adalah suatu tindakan yang berjiwa besar, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Katanya, kesilapan kecil yang dibicarakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba semasa siaran langsung Facebook bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini adalah suatu kesilapan yang tidak disengajakan.

Jelas beliau, ini jauh berbeza dengan sifat pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak mengakui kesilapan berbicara malah ingin menegakkan ‘benang yang basah’.

“Datuk Seri Dr Adham Baba adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan bersifat terbuka kerana mampu menerima teguran…inilah contoh kepimpinan melalui teladan.

“Kesilapan beliau adalah tersalah sebut dan sudah tentu ia jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan kesilapan pemimpin PH sepanjang 22 bulan memerintah negara sehingga mengguris hati rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook.

Justeru, tambah Dr Najmil lagi, inilah dikatakan kesilapan sebenar yang mencerminkan akhlak pemimpin PH yang angkuh dan tidak mempedulikan perasaan rakyat Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan sebegini.

“Adakah pemimpin PH memohon maaf apabila menuduh serangan Kuil Sri Mariamman Seafield dirancang dan dilakukan oleh orang Melayu-Islam sehingga mencetuskan perbalahan kaum?

“Adakah pemimpin PH mohon maaf apabila memfitnah agenda penyatuan Ummah di antara UMNO-PAS adalah pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu?

“Adakah pemimpin PH mohon maaf apabila bekas Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorty menuduh Malaysia bukanlah sebuah negara moderat progresif Islam dan telah mendiskriminasi kaum India?,” soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.