‘Bantuan Satu Budaya’, Shafie Jangan Hina Rakyat Sabah – Raime

TENOM, 21 April – Alasan keras yang dilemparkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hingga menggelarkan ‘bantuan satu budaya’ amatlah mendukacitakan, kesal Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Haji Raime Unggi.

Bidasnya, sudah pasti kenyataan Shafie tersebut mengguris hati rakyat susah di luar sana yang benar-benar memerlukan bantuan di kala ancaman wabak COVID-19 ini masih lagi berlaku dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi dilaksanakan.

“Pada waktu bencana ini, kerajaan negeri tidak seharusnya seolah-olah seperti menyalahkan rakyat dan mencari pelbagai alasan daripada membantu mengurangkan beban yang terpaksa dihadapi oleh mereka ketika ini.

“Saya telah mendengar banyak keluhan dan masalah dengan bantuan-bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah berbanding bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat.

“Saya menggesa kerajaan negeri permudahkan pelaksanaan segala bantuan-bantuan yang telah diumumkan kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Raime yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom, semua rakyat tidak pernah melalui saat sukar seperti sekarang ini, justeru kerajaan negeri sepatutnya melindungi dan membela nasib rakyat yang tertekan bukannya memutuskan bantuan kepada mereka dengan alasan melabelkan budaya terlalu bergantung kepada bantuan tidak sepatutnya wujud di kalangan rakyat.

Ulasnya juga, tidak ada rakyat Sabah yang terdesak mahukan bantuan jika bukan kerana keadaan semasa yang menimpa negara seperti wabak penyakit COVID-19.

“Rakyat pun bekerja dan tahu mencari makan untuk menyara diri dan keluarga tetapi PKP yang berlanjutan menyebabkan rakyat tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa duduk di rumah hingga keadaan negara dan rakyat selamat.

“Siapa pun ‘kerajaan pintu belakang’, wujud dari pemimpin yang melompat parti dan sebagainya, kerajaan negeri perlu membantu rakyat tanpa mempersoalkan latar belakang atau kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh mereka jika benar-benar ingin membantu rakyat,” katanya.

Jelas Raime juga, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sebanyak RM130 juta yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada semua negeri bagi menghadapi krisis ini.

Justeru itu, Raime menggesa Kerajaan Negeri Sabah di bawah Parti Warisan/UPKO atau mana-mana kerajaan waima ‘kerajaan pintu belakang’ sekalipun, jangan memandang rendah rakyat hingga tergamak mengeluarkan kenyataan seolah menghina rakyat yang memohon bantuan kerana adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk membantu rakyat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.