Bantuan Komprehensif Kerajaan Negeri Pastikan ‘No One Will Be Left Behind’


KUALA LUMPUR, 21 April – Bantuan komprehensif Kerajaan Negeri Johor dapat membantu imbangi bebanan Kerajaan Persekutuan agar seluruh kebajikan rakyat terjaga dan merupakan mekanisme terbaik untuk memastikan “no one will be left behind”, tegas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin.

Katanya, dengan skala rakyat yang terlalu ramai untuk diuruskan, pastinya akan terlepas pandang dua-tiga individu yang memerlukan bantuan, maka tidak salah kiranya negeri-negeri lain turut mengambil pendekatan sama dalam memastikan bantuan yang lebih bersifat komprehensif dapat disalurkan.

“Setinggi tahniah diucapkan kepada kerajaan Johor di bawah pimpinan Datuk Ir Hasni Mohammad kerana sentiasa peka dalam memastikan ‘no one will be left behind’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan Kerajaan Johor adalah dengan memberi bantuan RM250 – RM500 kepada individu yang tergolong dalam M40 dan B40 yang tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Ini penting, kerana masih juga terdapat isi keluarga/bujang yang tidak menerima bantuan BPN/BSH meskipun mereka layak untuk mendapatkannya. Misalnya seperti pekerja-pekerja yang bekerja di Singapura yang kini tidak ada pendapatan dan ada juga yang telah dibuang kerja.

“Malah, kerajaan Johor juga turut mengutamakan kebajikan peniaga kecil, terutamanya peniaga bazar Ramadan yang tidak lagi dapat berniaga seperti sebelumnya.

“Peniaga kecil yang biasanya berniaga di bazar Ramadan akan diberikan geran galakan RM200 untuk mereka berniaga secara atas talian. Justeru, kerajaan negeri juga telah menyediakan platform atas talian untuk tujuan pemasaran melalui kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).”

Keseluruhannya, jelas beliau, langkah kerajaan Johor ini penting terutamanya dalam mengimbangi bebanan kerajaan Persekutuan.

“Tiada yang lebih utama selain daripada memastikan dapur setiap rakyat terus berasap,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.