Kesan Pandemik COVID-19 : Anak Muda Turut Dapat Perhatian Dan Bantuan – Fadzli

KUALA LUMPUR, 20 April – Anak muda dan belia di beberapa buah kampung sekitar Raub yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan terkesan dengan wabak COVID-19 yang melanda negara mendapat perhatian Pemuda UMNO bahagian berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata menerusi bantuan tersebut, seramai 250 orang anak muda daripada 40 buah kampung menerima bantuan keperluan asas makanan dan ianya digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi memastikan mereka terus kekal berada di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan sekarang.

“Bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan susulan PKP. Kebanyakan mereka berkerja sendiri dan berpendapatan harian. Malah ramai juga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Proses pengagihan bantuan diadakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dengan kelulusan permit terlebih dahulu diperoleh daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Raub. Manakala pengagihan bantuan pula diawasi dua orang pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memastikan pematuhan syarat penjarakan sosial dan perlindungan diri.,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini.

Kata Fadzli lagi yang juga Presiden Anak Raub, ramai orang kampung yang berada dalam keadaan kesusahan ketika ini dan sewajarnyalah mereka dibantu pada saat ini.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang kerana cukup prihatin dengan keluhan dan kesusahan rakyat, dengan menyalurkan peruntukan bagi membantu mereka yang terkesan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.