Kerajaan Perlu Campurtangan Masalah Antara Pemilik Dan Penyewa – Asyraf

KUALA LUMPUR, 20 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyeru agar para pemilik rumah dapat menggunakan budi bicara dan menzahirkan sifat keihsanan kepada para penyewa dengan mengurang ataupun menangguhkan sewaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kepayahan semua dalam menghadapi COVID-19 ketika ini.

Ketua pergerakan tersebut Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara ini juga memerlukan campurtangan segera Kerajaan dengan memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang dapat memelihara hak kedua-dua pihak penyewa dan pemilik premis sebagaimana yang dilakukan oleh banyak negara ketika ini.

“Pemuda UMNO banyak menerima aduan orang ramai di kalangan penyewa mengenai tekanan yang dikenakan oleh tuan/pemilik rumah untuk melunaskan sewa bulanan walaupun Kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan moratorium pembayaran balik pembiayaan pinjaman perumahan oleh Bank-Bank.

“Situasi ini sudah tentu amat dikesalkan lantaran terhakisnya sifat keihsanan dan timbang rasa sedangkan semua maklum ramai yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang muatnaik di ‘facebook’ beliau.

Tambah Asyraf, Pemuda UMNO bimbang sekiranya situasi ini gagal dibendung, ramai keluarga akan kehilangan kediaman tempat berteduh lantaran sikap rakus sebilangan pemilik rumah yang hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata. Justeru, campur tangan kerajaan diperlukan segera agar permasalahan ini dapat diselesaikan.

Untuk itu, buat yang beragama Islam, Asyraf berkongsikan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 180 seperti berikut:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”. – UMNO ONLINE