Desak Sidang Parlimen, Pemimpin PH Meroyan Lagi – Fairuz

KUALA LUMPUR, 20 April – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Edzuan Jamaludin berkata pasca kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyaksikan watak kedua parti ini begitu kontradik, tidak sebagaimana watak mereka sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

Katanya, percanggahannya begitu ketara apabila meminta sidang Parlimen diadakan sedangkan pemimpin negara  kini sedang berusaha  melawan penularan COVID-19 yang semakin merebak.

“Tolong bertindak rasional! apa salahnya tangguh sidang Parlimen sebab Negara masih berperang dengan COVID-19.

“Dari jadi kerajaan sehinggalah jadi pembangkang… kedua-duanya teruk dan tidak rasional. Kerajaan bersusah payah fokus berperang dengan wabak COVID-19,  PH pula tak habis-habis meminta sidang Parlimen diadakan.

“Adakah pemimpin PH sebenarnya ada muslihat untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan memberi undi tidak percaya semasa sidang Parlimen?  Kalau ya pun, tangguhlah dulu sehingga menang berperang dengan wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fairuz lagi, semasa menjadi kerajaan, PH berebut kuasa sesama sendiri sehinggakan kebajikan rakyat tidak terjaga malah sekarang ini apabila kembali menjadi pembangkang, PH obses pula dengan publisiti murahan untuk nampak ‘hero’ di mata rakyat.

“Di masa pandemik sebegini apakah penting sangat sidang Parlimen? Parlimen utama, atau nyawa yang utama? Jangan manipulasi terma ‘demokrasi’ kerana demokrasi pun ada budi bicaranya.

“Penangguhan sidang Parlimen sebegini sebenarnya adalah perkara biasa, sebagai contoh di Mesir, Parlimen mereka terpaksa ditangguhkan sehingga dua kali demi mengelakkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ahli Parlimen. Malah  di Hungary, kerajaannya diberikan ‘Plenary Power’ yang  bermaksud kuasa penuh untuk melaksanakan apa jua perkara difikirkan rasional untuk melawan COVID-19 ini, jelas beliau.

Menurut Fairuz lagi, di negara Iran terdapat kira-kira 23 daripada 290 (8%) ahli Parlimen mereka telah dijangkiti wabak ini, begitu juga di Sepanyol, sebahagian besar ahli Parlimen mereka telah dijangkiti yang memaksa sidang Parlimen ditangguhkan.

“Jadi, jelas mencegah itu lebih baik daripada merawat. Bukan tak ada sidang Parlimen selamanya tetapi hanyalah penangguhan sementara sebulan dua ini. Nyawa adalah lebih utama daripada sidang Parlimen. Faham PH?,” tegasnya – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.