Armada Perlu Hormati Permuafakatan Parti Dalam Kerajaan

REMBAU, 20 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir membidas kenyataan Exco Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang secara biadap mengeluarkan kenyataan seolah-olah mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai mencampuri urusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara berlebihan.

Jelas beliau, tuduhan tersebut jelas menunjukkan bahawa beliau tidak menghormati kesepakatan antara parti di dalam Kerajaan hari ini.

“Walhal, sebagai Presiden parti yang paling besar di dalam gabungan Kerajaan hari ini, Datuk Seri Zahid selayaknya mengemukakan apa sahaja cadangan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan. Cadangan yang diberikan juga dilakukan secara beradab iaitu menerusi sepucuk surat rasmi yang dihantar secara peribadi kepada Perdana Menteri.

“Ini menunjukkan sikap Datuk Seri Zahid yang menghormati jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan ia langsung tidak ada sebarang unsur campur tangan atau ugutan di dalam surat tersebut. Bahasa yang digunakan juga menunjukkan betapa Presiden UMNO itu menghormati jawatan Tan Sri Muhyiddin di dalam Kerajaan ketika ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, Zaidy melahirkan rasa musykil, apakah niat dan matlamat Asyraf dalam melemparkan tuduhan seperti itu, adakah beliau mahu mendapatkan populariti murahan atau beliau ini merupakan pengikut yang taksub kepada segelintir pemimpin di dalam PPBM yang setiap hari cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden mereka sendiri.

“Seharusnya, di dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19, Asyraf tidak mempolitikkan semua perkara dan sewenang-wenangnya membangkitkan isu yang remeh seperti ini. Perkara ini juga perlu dibincangkan di kalangan mereka di dalam PPBM secara dalaman, bukannya dibawa kepada media dan menunjukkan seolah-olah permuafakatan parti-parti di dalam Kerajaan hari ini tidak kuat dan rapuh.

“Melainkan Ashraf mempunyai agenda tersendiri untuk menggagalkan Kerajaan Tan Sri Muhyiddin.

“Justeru, saya ingin menasihatkan Ashraf supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini. Hormatilah permuafakatan di antara parti di dalam gabungan Kerajaan hari ini. Jangan meletakkan agenda peribadi melebihi daripada agenda permuafakatan Kerajaan kerana permuafakatan Kerajaan hari ini dibina menerusi prinsip mendokong kestabilan politik dan ekonomi di negara kita,” tegas beliau.

Beliau turut menasihati Asyraf, jika tidak mampu menjadi garam, janganlah pula menjadi langau, langau yang menghurung ikan hingga menjadi busuk dan tidak boleh digunakan lagi.

“Peganglah kepada nasihat Allahyarham Prof Hamka, orang berakal hidup untuk masyarakatnya, bukan buat dirinya sendiri,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE