Wakil Rakyat Bertugas Tertakluk SOP PKP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 19 April – Wakil rakyat tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika menjalankan tugas di kawasan masing-masing ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata wakil rakyat tidak boleh mengadakan perjumpaan atau program serta jamuan melibatkan kelompok yang ramai.

“Wakil rakyat, tugas mereka adalah menjaga kepentingan rakyat di kawasan masing-masing, mereka dibenarkan (bertugas) tetapi masih tertakluk kepada SOP, tidak boleh mengadakan perjumpaan, program penyerahan bantuan dan jamuan besar-besaran.

“Untuk keluar pun tidak perlu rombongan kereta yang banyak, cukup dua atau tiga orang sahaja mengikuti rombongan mereka untuk memberikan bantuan makanan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian PKP di sini, hari ini.

Beliau berkata wakil rakyat berkenaan sebaik-baiknya menggunakan khidmat petugas barisan hadapan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu mereka melaksanakan sebarang program di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ismail Sabri menafikan tuduhan kerajaan ‘tutup mata’ terhadap isu orang kenamaan yang melanggar PKP seperti ditularkan di laman sosial.

Beliau berkata pihak polis telah memanggil individu berkenaan untuk membantu siasatan dan sebarang tindakan selanjutnya akan ditentukan undang-undang negara.

“Difahamkan pihak polis dah panggil (orang kenamaan terlibat) dan saya kira tindakan seterusnya bergantung pada pihak polis. Tidak betul tuduhan ada perbezaan pendekatan polis terhadap pesalah atau yang ingkar PKP, tindakan telahpun ambil,” katanya.

Dua hari lepas tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan orang kenamaan membuat lawatan dan menziarahi orang ramai sehingga dilihat tiada jarak sosial dilakukan walaupun dalam situasi COVID-19 dan PKP.

Ia mengundang desakan dan kecaman dalam kalangan rakyat negara ini yang mahukan individu itu disiasat serta dikenakan hukuman mengikut peraturan PKP sekiranya didapati bersalah. – BERNAMA