Tuduhan Presiden UMNO Campur Tangan Berlebihan Sekadar Provokasi Murahan – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 19 April – Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun menempelak kenyataan Exco Armada yang kononnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap banyak berhubung cadangannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai suara UMNO Sabah.

Tegas beliau Exco berkenaan janganlah hanya bersuara pada kes-kes terpilih dan kenyataan Exco Armada ini yang mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran PN adalah suatu provokasi murahan yang tidak patut dilakukan.

“Kononnya pemimpin UMNO Sabah terpalit kes rasuah dan sebagainya, soalan saya pada saudara Asraf dimanakah anda apabila parti anda mengangkat orang yang terlibat dengan dakwaan rasuah terowong, dimanakah anda apabila kes kehilangan duit RM250,000 oleh Ketua anda…

“Apa jawapan anda. Jangan hanya bersuara pada kes-kes terpilih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Dr Masliha, cadangan Presiden UMNO adalah hanya permintaan kecil untuk mengangkat cadangan, tuntutan dan membawa suara UMNO Sabah bagi mengimbangi pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana mereka ini turut serta dalam menyumbangkan angka sokongan kepada TSMY sebagai Perdana Menteri.

Katanya konsensus untuk menyelamatkan Malaysia jangan disalah anggap dan jangan mudah mendabik dada apabila dipuncak kuasa.

“Asas tertubuhnya PN ini adalah kebersamaan dan persefahaman antara ketua-ketua Parti seterusnya dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menamatkan krisis kepimpinan negara yang mana telah dimulakan oleh PH.

“Hormatilah Presiden kami seperti mana kami menghormati Presiden anda.Saya berharap kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi perhatian serius terhadap perkara ini dengan mengambil tindakan tatatertib kepada ahli parti anda ini yang melampaui batas dalam kritikan terhadap Presiden komponen PN,” ujarnya.- UMNO ONLINE