Kuarantin Wajib Berjaya Kekang Peningkatan Kes Positif COVID-19 – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 19 April – Langkah kerajaan mengenakan kuarantin wajib kepada rakyat Malaysia yang pulang dan individu yang masuk ke negara ini mulai 3 April lepas berjaya mengekang peningkatan kes pandemik COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini terbukti apabila laporan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat 17 kes positif daripada jumlah mereka yang dikuarantin itu.

“Satu perkara tepat apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa dua, kita memperkenalkan kuarantin wajib rakyat Malaysia yang pulang (ke negara ini). Di sesetengah negara buat kuarantin diri di rumah atau tidak kuarantin.

“Ada 17 kes positif COVID-19 yang pulang dari luar negara. Cuba bayangkan, jika kita bagi mereka pulang ke rumah, keluarga terdedah kepada COVID-19 dan boleh merebak kepada lebih ramai orang,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP di sini, hari ini.

Katanya walaupun ramai yang tidak senang dengan langkah kuarantin wajib itu, namun ia adalah langkah yang perlu bagi menjamin kesihatan rakyat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata setakat semalam seramai 16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 190 pusat kuarantin seluruh negara.

Katanya semalam juga terdapat 573 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin wajib.

“Seramai 11,947 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April. Sejak 18 April, 1,290 individu telah tamat menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.

Katanya, seramai 72 orang akan pulang ke Sarawak selepas tamat menjalani tempoh kuarantin wajib.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menguruskan penerbangan pulang mereka ke Sarawak, katanya.- BERNAMA