Terus Jaga Disiplin, Kita Mampu Putuskan Rantaian COVID-19

KUALA LUMPUR, 18 April – Alhamdulillah…hari ini mencatatkan kes baharu harian yang semakin menurun. Perkembangan sangat sihat, demikian ungkapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam hantaran Facebooknya.

Jelas beliau kunci keberhasilan ini adalah ketegasan kerajaan, kecekapan perubatan dan disiplin rakyat. 


“Betul, masih ada yang degil namun kita serahkan kepada pihak penguatkuasa menguruskannya.

“Jika aliran menurun ini terus dicatatkan, tidak mengejutkan jika dalam masa dua minggu lagi akan ada kelonggaran tertentu. Kita terus berdoa,” katanya.

Katanya lagi adalah satu perkara yang tidak mustahil, namun dalam tempoh waktu dua minggu ini ianya sangat kritikal.

“Teruslah menjaga disiplin dan sikap baik kita selama sebulan ini. Hanya dengan kebersamaan yang menyeluruh, kita mampu memutuskan mata rantai virus pembunuh ini,” ujarnya.

Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memerangi wabak COVID-19 apabila kes positif harian sekali lagi mencatatkan angka terendah iaitu 54 kes hari ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Jumlah kes pulih harian adalah 135 kes, lebih dua kali ganda berbanding kes baharu yang direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan 135 kes pulih, ia menjadikan jumlah kumulatif terkini kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan yang telah discaj daripada wad kini berjumlah 2,967 kes atau 56.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.