Orang Ramai Perlu Terus Patuh PKP Ke Arah Sifar Kes Positif COVID-19

PUTRAJAYA, 18 April – Orang ramai perlu terus patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak keluar rumah dengan sewenang-wenangnya bagi mencapai matlamat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun jumlah kes positif yang direkodkan sejak dua hari lalu telah mencatatkan penurunan namun negara masih belum mencapai angka sifar kes positif COVID-19.

“Kalau kita dah nampak kejayaan hasil daripada PKP yang kita perkenalkan maka sepatutnya rakyat membantu kerajaan memastikan sifar kes positif COVID-19,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di sini, hari ini.

Ismail Sabri turut memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan kesihatan susulan kes positif pandemik COVID-19 semalam iaitu 69 kes manakala kes pulih pula konsisten melebihi kes positif sejak kebelakangan ini.

Namun beliau menegaskan orang ramai tidak boleh mengambil kesempatan mengenai perkembangan memberangsangkan itu kerana pandemik itu belum lagi berakhir di negara ini dan arahan PKP masih perlu dipatuhi.

“Jangan kita terlalu yakin kes positif telah berkurangan, maka kita langgar segala perintah PKP kerana kalau dengan pelanggaran itu menyebabkan berlakunya semula penyebaran virus ini akhirnya PKP tidak dapat ditamatkan.

“Sebab itu Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) memberi amaran, jika rakyat masih ingkar mungkin PKP ini akan terus disambung lagi. Itu adalah peringatan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 816 sekatan di jalan raya di seluruh negara semalam, dan melakukan pemeriksaan ke atas 585,250 kenderaan.

Dalam pada itu sebanyak 54,781 pemeriksaan mengejut diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 4,788 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa.

“PDRM telah menangkap 1,565 individu berbanding 1,057 individu hari sebelumnya, kerana ingkar PKP, merangkumi 1,381 individu yang direman dan 184 individu dijamin polis.

“Sebanyak 544 individu telah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP. Jumlah tangkapan kumulatif setakat semalam adalah sebanyak 13,639 individu,” katanya.

Ismail Sabri berkata PDRM akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar arahan PKP bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.