Kemuka Cadangan Dan Mencampuri Urusan PM Dua Perkara Berbeza – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 18 April – Exco Armada PBBM Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir diingatkan agar jangan biadap berhubung kenyataanya sebelum ini yang meminta supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mencampuri berlebihan urusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata mencampuri urusan PM dan mengemukakan cadangan adalah dua perkara yang berbeza dan tidak timbul sepertimana yang diperkatakan oleh Exco Armana berkenaan.

“Pada mulanya saya tidak ingin respon terhadap kenyataan dangkal dan jelas membuktikan yang dia masih lagi cetek dan ketandusan pengalaman dalam berpolitik. Bahkan secara jujurnya tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada Presiden UMNO.

“Saya minta dia baca dan hadam terlebih dulu surat yang ingin dihantar Presiden UMNO itu kepada Perdana Menteri sebelum membuat kenyataan yang dangkal dan membabi buta dengan emosi. Surat yang dikemukakan Presiden UMNO merupakan cadangan, bukan bermakna ia sesuatu yang bersifat mutlak. Adalah sesuatu yang normal, Presiden bagi sebuah parti mengemukakan cadangan dan kuasa Perdana Menteri untuk menerima atau sebaliknya.

“Malah, surat yang dihantar itu penuh dengan tertib, jadi di mana urusan mencampuri tugas Perdana Menteri seperti yang dibangkitkan Exco Armada ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mempersoalkan apakah Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk hari ini terhasil dengan kekuatan satu parti saja. Apakah tanpa UMNO dan PAS, PN masih berupaya membentuk kerajaan.

Katanya apabila UMNO menjadi sebagai daripada kerajaan PN, bermakna UMNO juga berhak untuk bersuara dan mengemukakan pandangan.

“Mencampuri urusan Perdana Menteri dan mengemukakan cadangan adalah dua perkara yang berbeza dan saya harap Exco Armada ini dapat menghadam maknanya.

“Begitu juga dengan kenyataan Datuk A Kadir Jasin yang menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuli UMNO hanya dengan surat cadangan itu. Saya kira rakyat Malaysia cukup mengenali siapa Kadir Jasin, seorang pentaksub tegar kepada mantan perdana menteri ketujuh.

“Kalau kita membaca pemikiran beliau, hanya apa yang dicakapkannya saja betul, jadi saya kira rakyat Malaysia cukup mengenali sikap dan perangai Kadir Jasin dan pada saya tidak perlu untuk mengulas lanjut,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.