COVID-19: KPM Harus Segera Wujudkan Saluran TV Digital, Radio Lebih Khusus Untuk Pendidikan

KUALA LUMPUR, 18 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Suraya Yaacob mencadangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memperkenalkan kaedah pembelajaran menerusi saluran televisyen digital dan siaran radio yang khusus untuk pendidikan meliputi pelbagai peringkat sama ada pendidikan awal, rendah atau menengah, kelas peperiksaan awam, kohot, aliran atau subjek khusus, mengikut standard dan silibus sedia ada.

Katanya, akibat penularan pandemik COVID-19 bermula awal tahun ini, sesi persekolahan anak-anak terpaksa ditangguh sehingga pihak kerajaan yakin negara ini bebas sepenuhnya dari wabak maut yang mencetus kerisauan dan mengancam di peringkat global ini sedangkan pendidikan merupakan suatu pelaburan penting masa depan negara.

“Saya berpandangan bahawa pihak KPM memerlukan satu pelan tindakan pendidikan jangka sederhana yang bertindak sebagai satu mekanisma bagi mengatasi masalah ini. Di samping kaedah pembelajaran berasaskan internet sedia ada, pihak KPM digesa agar menyediakan satu platform yang lebih holistik bagi dinikmati semua guru dan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau inisiatif meneruskan sesi pembelajaran pelajar melalui platform berasaskan internet termasuk aplikasi media sosial sedia ada adalah usaha yang amat wajar disanjung tinggi.

“Namun begitu, tidak dinafikan juga bahawa kaedah pembelajaran berasaskan internet tersebut tidak dapat dinikmati oleh ramai guru dan pelajar yang berada di kawasan yang tidak mempunyai capaian internet terutama yang berada di daerah-daerah kategori pedalaman dua ke atas di seluruh negara.

“Manakala di kawasan bandar dan mempunyai capaian internet sekali pun, ramai juga di kalangan pelajar yang tidak dapat mengikutinya ekoran kekangan tidak memiliki peralatan seperti komputer, komputer riba, gajet dan seumpamanya. Hakikat ini turut diakui sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dr. Radzi Jidin dalam satu sidang media yang diadakan.

“Dalam ertikata lain, pembelajaran menerusi platform internet ini hanya dapat dinikmati berdasarkan demografi dan pemilikan peralatan pembelajaran yang sesuai. Membimbangkan, keadaan ini akan menyebabkan pembelajaran pelajar di kawasan pedalaman dan kurang berkemampuan akan terus tercicir berbanding rakan-rakan mereka yang bernasib baik.”

Justeru katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, platform televisyen digital dan siaran radio khusus dicadangkan kerana ia dapat diakses dengan mudah oleh segenap guru dan pelajar tanpa mengira lokasi atau latar belakang ekonomi.

“Meskipun kita memiliki saluran TV Pendidikan sedia ada, ianya tidak dapat berfungsi secara menyeluruh oleh setiap lapisan pelajar akibat slot siaran yang terhad dan bersifat umum.

“Mungkin ada kes-kes terpencil di mana terdapat kawasan pedalaman yang memiliki siaran digital yang kurang baik. Namun jika masalah berkenaan berbangkit, disarankan agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan akses penyiaran digital di kawasan tersebut dengan segera.

“Saya memahami bahawa penyediaan platform saluran pendidikan khusus berasaskan siaran televisyen dan radio ini sudah tentu memerlukan kos yang agak tinggi. Namun begitu, ia juga tidak dapat dinafikan merupakan satu pelaburan jangka panjang KPM bagi menerus matlamat kemenjadian murid dalam pembentukan generasi berilmu pada masa akan datang.”

Malah katanya, sekiranya pandemik COVID-19 berakhir tamat dan negara kita bebas 100 peratus dari wabak maut ini sekalipun, platform siaran televisyen dan radio khusus pelbagai aliran ini masih boleh dimanfaatkan sepenuhnya di kawasan-kawasan luar bandar sementara menanti Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyediakan akses internet yang baik di kawasan terbabit.

“Saya mencadangkan agar pihak KPM bersedia melakukan pelaburan penting ini bagi mengelak ramai guru dan pelajar yang terjejas akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

“Sewajarnya KPM bertindak secepat mungkin untuk mempertimbangkan serta ditambahbaik cadangan ini mengikut kesesuaian semasa, dan seterusnya diusulkan kepada Perdana Menteri untuk diputuskan segera.

“Demi masa depan anak-anak kita dan negara, harap pihak KPM dapat merealisasikan cadangan ini sebaik mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.