COVID-19 : Koordinasi Jemaah Menteri, MKN Dan Usaha Pelbagai Pihak Cukup Baik – Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syukur dan melihat koordinasi yang baik antara jemaah menteri serta barisan kabinet dan juga Majlis Keselamatan Negara dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Menerusi Live FB zahidhamidi.fanpage, Hello Bersama Presiden UMNO Malaysia, beliau berkongsi pandangan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkaitan  permasalahan COVID-19 yang melanda negara hari ini.

“Alhamdulillah saya melihat koordinasi yang baik jemaah menteri termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama dengan agensi utama lain di dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya ucap tahniah juga kerana semua pintu-pintu masuk udara, darat dan laut  di sempadan-sempadan kita dikawal sepenuhnya dan ini tentunya dapat menyekat kemasukan virus yang datang daripada luar,” katanya.

Katanya lagi mungkin ketika masalah berkenaan mula-mula timbul sebelum ini, kerajaan pada waktu itu agak lewat sedikit mengambil tindakan tetapi Alhamdulillah sejak Tan Sri Muhyiddin mengambilalih dan Dr Adham sebagai Menteri Kesihatan  bersama dengan menteri yang lain telah mengambil langkah proaktif.

“Apa yang penting koordinasi ini telah berjalan dengan baik setakat ini dan harap ianya dapat diteruskan,” ujarnya.

Ahmad Zahid seterusnya mengucapkan tahniah kepada barisan ‘frontliners’ termasuklah Datuk Dr Adham Baba sendiri dan pada masa yang sama turut melihat kesiapsiagaan yang cukup tinggi pelbagai pihak.

“Saya ucapkan tahniah selain daripada Datuk sendiri, ‘fronliners’ kita dengan kesiapsiagaan  dan kita lihat petugas-petugas seperti Doktor, Jururawat dan kita lihat fasiliti hospital juga berada di tahap yang cukup bersiap siaga malah makmal-makmal dan kajian mengenai pandemik ini oleh makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah memperlihatkan satu langkah kehadapan.

“Saya berdoa agar kedapatan kajian ini dapat dibuat oleh makmal-makmal dibawah Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Pada masa yang sama Ahmad Zahid turut bertanyakan mengenai penglibatan Hospital, doktor-doktor dari hospital swasta.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan pihaknya mendapat kerjasama yang cukup baik.

“Kita telah gazetkan 40 hospital, 114 Hospital saringan COVID -19 dan 43 makmal sekarang ini dan kita dapat menguji sampel sebanyak 11 ribu selama satu hari. Makmal swasta juga bekerjasama dan kita mengusahakan kekuatan ujian yang menggunakan ‘real time polymeris reaction’ untuk mengesan netizen sama ada mengalami wabak COVID-19 atau tidak,” katanya.

Adham seterusnya menjelaskan perkembangan terkini wabak COVID-19 di negara ini memperlihatkan senario yang sebenarnya dalam fasiliti hospital di Malaysia.

“Sehingga semalam, kita ada 5,251 kes keseluruhan dan kes sembuh 2,967 dan ini menunjukkan fasiliti hospital Malaysia sangat baik dan 56 peratus peringkat Malaysia dan dunia 30 peratus iaitu melepasi pencapaian peringkat antarabangsa.

“Sekarang ini KKM tidak akan berputus asa untuk terus menyekat penularan COVID-19 dan sebab itu kita menyambung PKP fasa ketiga supaya dapat kekalkan pergerakan sosial serta dapat mendidik masyarakat dengan cara baru kehidupan,” ujarnya.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.