Syarat Daftar Dengan JKM, Untuk Jaga Keselamatan Penyumbang, Penerima – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 17 April – Langkah kerajaan menetapkan badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum memberi sumbangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah demi menjaga keselamatan semua pihak yang terbabit.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia juga bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kontak rapat jika berlaku jangkitan virus itu dalam kalangan pemberi dan penerima sumbangan.

“Tujuan kita bukan untuk mengekang sesiapa pun untuk membantu, tetapi demi keselamatan mereka sebab apabila mereka hantar dan bertemu pihak yang menerima, kita tidak tahu siapa yang mempunyai masalah kesihatan.

“Adakah yang positif COVID-19 di kalangan pemberi atau penerima, jika berlaku apa-apa dan berdaftar, kita boleh mengesan, sekiranya berlaku jangkitan dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pekerja pembersihan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Katanya, ini kerana pekerja kebersihan tidak melakukan hubungan langsung dengan penduduk atau penghuni yang dikenakan PKPD.

“Sebagai contoh PKPD di Simpang Renggam, penduduk di sana tidak dibenarkan untuk keluar rumah, maka pekerja kebersihan tidak melakukan perjumpaan langsung dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata pemakaian sarung tangan dan penutup mulut dan hidung adalah memadai untuk pekerja kebersihan ketika membuat kerja di kawasan PKPD.

Bagaimanapun, katanya, PPE diperlukan sekiranya pekerja kebersihan perlu masuk ke kediaman penghuni PKPD untuk kerja mencuci kerana disyaki mempunyai gejala atau positif COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.