PKP Fasa 3: Golongan Belia Haruslah Berfikir Matang, Elakkan Diri Dipenjara – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 17 April – Tidak dinafikan ada segelintir rakyat masih berdegil sekaligus ingkar dengan arahan kerajaan agar duduk di rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19 walaupun fasa ketiga sudah bermula, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Katanya, kebanyakan yang ingkar dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah golongan yang tidak mampu membayar denda sebanyak RM1,000 kerana lebih rela dipenjara dari membayar denda tersebut.

“Nilai RM 1000 adalah besar dan dapat digunakan untuk belanja isi rumah selama sebulan. Ingkar PKP akan membawa padah terutama apabila tidak mampu menjelaskan denda. Inilah realiti yang berlaku di Malaysia di mana terdapat ramai lagi golongan yang susah kerana tidak mampu membayar denda memohon agar dipenjarakan.

“Menjadi penghuni penjara kerana kesalahan ingkar PKP yang sepatutnya dapat dielakkan akan menjejaskan masa depan apabila rekod jenayah lampau menyukarkan bekas banduan mencari pekerjaan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil lagi, bagi golongan belia fikirlah dengan matang dan jangan menanggap PKP ini sebagai suatu perkara yang remeh kerana jika ditangkap sudah tentu akan merosakkan masa hadapan anda.

“Ibu bapa atau penjaga juga perlu bertegas dengan anak-anak untuk sentiasa patuh pada PKP. Perjalanan hidup mereka masih jauh dan jangan disebabkan ingkar PKP ini masa depan mereka musnah sekelip mata.

“Belia adalah masa depan negara,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.