Cukup-Cukuplah ‘Ratib’ Sidang Khas Parlimen… Bantu Kerajaan Putuskan Penularan COVID-19 – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 17 April – Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh menempelak dan melihat mereka yang masih ‘meratib’ untuk diadakan sidang parlimen khas adalah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga pengamal perubatan dan merupakan salah seorang sukarelawan yang berkhidmat sebagai ‘frontliner’ di kawasan Titiwangsa berpandangan gesaan diadakan sidang khas berkenaan adalah satu perkara yang tidak munasabah.

“Ini menunjukkan mereka lebihkan politik daripada tanggungjawab kepada rakyat. Pada musim wabak ini kalau boleh elakkan soal politik dan beri tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk melawan wabak ini.

“Sebab apa kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada kepentingan politik individu. Kita tidak mahu salahkan sesiapa namun hakikatnya adalah wabak ini bermulanya pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH)… ketika timbul cadangan untuk halang kemasukan pelancong dahulu ianya tidak diambil langkah sewajarnya.

“Kerajaan hari ini pula yang harus memperbaikinya. Namun apa pun pada saya itu bukan persoalan tetapi pada musim sekarang ini, saya menyeru semua pihak tidak kiralah sama ada kerajaan mahupun pembangkang tidak usah berpolitik,” katanya kepada UMNO Online di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau seterusnya memberikan contoh jika diadakan sidang parlimen khas dalam keadaan negara masih berperang dengan COVID-19.

“Kita kena ingat dalam parlimen ada berapa jumlah Ahli Parlimen dan kalau seorang daripadanya ada yang positif dan balik kawasan selepas itu… bayangkan apa akan berlaku. Kena ingat ada mereka yang positif COVID-19 namun tidak ada yang mempunyai simptom. Jadi ianya boleh membawa wabak berkenaan ke luar kawasan dan akan jadi fasa seterusnya pula nanti. Inilah yang kita khuatirkan,” ujarnya.

Jadi tambah beliau cukup-cukuplah kepada mana-mana pihak yang cuba menjadi juara atau sebagainya kerana apa yang penting penularan wabak ini mesti dihentikan.

“Jadi saya serulah kepada pimpinan politik pembangkang agar cukup-cukuplah… sekarang wabak ini sedang melanda… sebab apa… sebab rakyat perlukan kerjasama daripada semua pihak. Dah habis wabak ini nanti nak buat sidang parlimen berapa kali pun buatlah. Sekarang ini kena utamakan kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Kita minta rakyat untuk tidak berkumpul dan sebagainya tetapi pada masa yang sama pemimpin mahu duduk bersidang… Pada saya ini satu tindakan dan cadangan yang tidak bertanggungjawa,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.