KP Kesihatan Malaysia Diiktiraf Tiga Terbaik Di Dunia, Zahid Ucap Tahniah

KUALA LUMPUR, 16 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah atas pengiktirafan antarabangsa yang diterimanya.

“Tahniah atas pengiktirafan,” katanya dalam satu lontaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengulas mengenai pengiktirafan media elektronik dari negara China, China Global TV Network (CGTN) terhadap Dr. Noor Hisham, sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang ‘lahir’ dari pegawai kesihatan awam dalam mengendalikan wabak COVID-19 bersama Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat (AS) and Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Dilaporkan, dalam laman webnya CGTN menyatakan ia ‘menobatkan’ Dr. Noor Hisham sebagai antara doktor terbaik di dunia berikutan pendekatannya yang berterus-terang dan tenang dalam mengendalikan wabak COVID-19 di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan dan juga rakyat keseluruhannya.

“Terima kasih kepada seluruh jentera yang turut membantu kejayaan usaha mengatasi masalah COVID-19.

“Terima kasih kepada rakyat yang memberi kerjasama yang turut membantu kejayaan tersebut.

“Kita mesti menang,” tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.