Tiga Sektor Ekonomi Dibenarkan Kembali Beroperasi, Pemuda UMNO Suarakan Kebimbangan
KUALA LUMPUR, 15 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyuarakan kebimbangan serta kewajaran Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengisytiharkan kebenaran tiga sektor ekonomi untuk kembali beroperasi menimbulkan persoalan.
Ini kerana katanya negara masih bergelut memastikan rantaian wabak virus COVID-19 diputuskan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Tiga.
“Apakah benar dakwaan memanfaatkan dua juta pekerja rakyat tempatan sedangkan semua maklum sektor pembinaan sahaja majoritinya pekerja asing?
“Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu COVID-19 sebanyak 334 kelmarin sahaja dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Justeru, Dr Asyraf berharap agar Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sudah mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenainya dan bukan sekadar mengejar keberuntungan sementara.
Dalam satu lontaran di Facebook, Azmin berkata kerajaan telah membenarkan sektor-sektor ekonomi yang kritikal untuk terus beroperasi demi menjamin pekerjaan rakyat dan kelangsungan ekonomi.
Katanya, langkah tersebut menyelamat dua juta pekerjaan dari tiga sektor terpenting iaitu pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, elektrikal dan kejuruteraan serta industri mesin dan peralatan.
Menurut Azmin juga, syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi harus memastikan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipenuhi dan mempraktiskan norma baharu supaya penularan wabak dapat dibendung. – UMNO ONLINE