Lanjutan PKP Bergantung Pada Nasihat KKM – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 15 April – Keputusan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai pelanjutan PKP sehingga Jun merupakan pandangan peribadi beliau.

Ini berdasarkan laporan polis yang menunjukkan tahap ketidakpatuhan yang semakin meningkat.

“Ia (kenyataan itu) mungkin pandangan daripada beliau…bagaimanapun keputusan sambung atau tidak PKP terletak kepada KKM,” katanya pada sidang media harian PKP di sini hari ini.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa PKP tidak akan dilonggarkan dan tindakan tangkapan akan dipergiatkan lagi kepada mereka yang melanggar arahan itu.

Beliau berkata PKP fasa tiga yang bermula hari ini sehingga 28 April ialah tempoh penting dalam usaha negara memutuskan rantaian dan menghapuskan wabak COVID-19.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata peratusan pematuhan orang ramai sejak PKP fasa satu dan dua masih pada tahap 97 peratus.

“Kita tahu semalam ada banyak kereta yang bergerak di jalan raya…tetapi kita mengharap perkara itu tidak lagi berterusan kerana seperti saya sebutkan, tindakan polis kali ini adalah tegas dan tidak bertoleransi dengan sesiapa sekali pun,” katanya.

Jelasnya setakat ini tiga peratus yang masih ingkar PKP dan berharap ia tidak berterusan kerana tindakan sangat tegas akan dikenakan mulai hari ini. – BERNAMA