Bantuan PKP: Jangan Tamak, Ingat Jiran Lain Yang Masih Belum Dapat – Sahrihan

KUALA LUMPUR, 15 April – Jangan tamak, ingat jiran lain yang masih belum dapat bantuan… Itu pesan pemerhati politik Sahrihan Jani kepada orang ramai.

Jelas beliau, tidak dinafikan ramai yang kehidupan mereka terhimpit kerana Perintah kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak pandemic COVID-19 ini namun itu bukan bermakna orang ramai boleh bersikap tamak.

“Kehidupan rakyat terjejas secara keseluruhan, fakta ini bukan sahaja di Malaysia tapi di seluruh dunia. Dalam tempoh PKP ini prioriti dan keutamaan semua pihak adalah melawan virus ini dengan tinggal di rumah untuk memutuskan rantaian penyebaran dan keduanya adalah memastikan ada makanan di atas meja di rumah masing-masing.

“Kerajaan telah mula salurkn Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) dan pelbagai bantuan dari pelbagai pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik malah individu telah diagihkan kepada hampir semua yang memerlukan demi memastikan rakyat tidak putus bekalan makanan.

“Maka saya mohon kepada mereka yang sudah dapat bantuan bekalan makanan contohnya dari seorang penyumbang, berilah pula peluang untuk bantuan bekalan makanan selanjutnya kepada orang lain. Pertindanan bantuan ini tiada masalah tetapi yang menjadi masalah adalah apabila ada jiran tetangga yang mungkin tidak mendapat peluang bantuan sedemikian maka agak tidak manis kita menghimpun tiga ke empat beg beras sedangkan jiran kita mungkin sudah hampir kehabisan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sahrihan, walaupun sedang susah namun itu bukan bererti boleh bersikap tamak.

“Pandang dan jelinglah jiran sebelah yang mungkin jauh lebih susah dari kita. Jangan kita ambil hak orang lain. Sikit sama sikit, banyak sama banyak.

“Kepada pemimpin setempat pula, terima kasih kerana membantu menyelaraskan segala bentuk bantuan yang sampai. Mudah-mudahan kita mampu laksanakan agihan dengan adil dan wajar dan usaha kita yang kecil ini mendapat keberkatan dunia akhirat,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.