Sheikh Umar Lebih Utamakan Soal Isytihar Harta Daripada Kebajikan Rakyat Terjejas COVID-19? – Hairi

KUALA LUMPUR, 14 April – Dalam keadaan negara ketika ini sedang berdepan dengan wabak berbahaya COVID-19, masih ada suara-suara sumbang termasuklah Ketua Pemuda Dap Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang dilihat lebih mengutamakan soal berpolitik ketika negara berjuang mengekang penularan pandemik itu.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah tindakan beliau yang mempersoalkan janji isytihar harta oleh Perikatan Nasional (PN) selepas genap sebulan PN memerintah tidak kena pada waktunya.

“Sebagai seorang wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Paloh, Sheikh Umar sepatutnya meminta keperluan dan memperjuangkan kebajikan rakyat di kawasannya. Adakah rakyat di DUN Paloh yang terjejas akibat COVID-19 telah terbela keseluruhannya? Adakah Sheikh Umar telah memastikan perkara itu?

“Adakah Sheikh Umar lebih mengutamakan soal isytihar harta daripada kebajikan rakyat yang terjejas ekoran penularan Covid-19?Ketika ini, semua pihak iaitu kerajaan Pusat, kerajaan Negeri, wakil rakyat, pimpinan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga rakyat sedang sibuk memerangi wabak COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Johor berharap jika Sheikh Umar mahu juga bercakap soal isytihar harta apabila dilaksanakan nanti bukan sahaja melibatkan pihak kerajaan malah pembangkang.

“Saya juga meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penggunaan wang derma dari rakyat kepada Tabung Harapan Malaysia (THM),” katanya lagi.

Tambah Hairi lagi, pastinya rakyat hendak tahu sama ada benar atau tidak wang THM itu digunakan untuk membayar hutang negara akibat skandal 1MDB.

“Namun… biarlah apa yang saya nyatakan itu dilaksanakan selepas negara sudah benar-benar bebas daripada rantaian COVID-19. Tidak perlulah kita menuding jari di saat genting ketika ini.

“Bersama-samalah kita membantu kerajaan di peringkat Pusat dan negeri bagi menangani wabak yang boleh membawa maut, COVID-19. Semua itu perlu kita lakukan demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mewujudkan kesepakatan dalam menangani isu COVID-19 sebelum negara dilanda gelombang lebih buruk ,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.