Penularan Berita Palsu Tidak Beretika, Timbulkan Kebimbangan Masyarakat – Jazlan

MACHANG, 14 April – Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub melihat penularan berita-berita palsu sepanjang wabak COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia hari ini merupakan satu perbuatan yang tidak beretika malah boleh menimbulkan kekhuatiran kepada masyarakat setempat.

Justeru beliau mengajak rakyat khususnya di kawasan Machang agar tidak mudah terpengaruh dan pada masa yang sama tidak melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.

“Inilah masalahnya apabila pihak-pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air keruh. Bukankah apa yang penting hari ini sama-sama membantu kerajaan memutuskan rangkaian wabak ini.

“Pada masa yang sama kita yang berkemampuan membantu mana-mana pihak yang memerlukan dan inilah budaya kita saling membantu antara satu dengan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Jazlan turut memaklumkan beberapa keluarga yang dihimpit kesusahan akan terus dibantu sepertimana yang dilaksanakan hari ini.

“Alhamdulillah pagi tadi saya berkesempatan mengagihkan sendiri bungkusan makanan dan ‘face mask’ kepada ketua keluarga miskin dan susah di Kampung Belukar Panjang, Temangan.

“Kita juga mengagihkan ‘face mask’ kepada penduduk yang melalui jalan Kampung Belukar Panjang ke Paloh Rawa,” tambahnya lagi.

Jelasnya juga, pihaknya berharap bantuan berkenaan dapat meringankan sedikit sebanyak beban mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan kerana PKP COVID-19. – UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.