Lanjutan PKP : Kerajaan Patut Pertimbang Bantuan Tambahan Kepada Peniaga Kecil Dan Pekerja Sambilan Harian – Fairuz

KUALA LUMPUR,14 April – Apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, apakah nasib peniaga kecil dan pekerja sambilan harian. Adakah dapur mereka akan terus berasap atau mereka terpaksa mengalas perut dengan nasi dan garam. Inilah sebahagian persoalan yang sering saya fikirkan di musim PKP ini.

Meskipun pelbagai inisiatif yang diambil kerajaan melalui Pakej Bantuan Prihatin Nasional (BPN), namun ia hanyalah dirangka dengan mengandaikan tempoh PKP kira-kira 2 hingga 4 minggu. Bagaimana jika keadaan ini berterusan untuk satu tempoh yang lebih panjang, demikian antara persoalan yang ditimbulkan oleh Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin.

Menurut beliau golongan ini memang benar-benar terkesan kerana ada yang masih perlu untuk membayar sewa premis, ada juga yang hanya mempunyai baki RM100 sahaja di akaun bank dan lebih memeritkan apabila tiada sumber kewangan untuk membayar sewa rumah.

“Memikirkan keadaan ini, pada hemat saya, adalah rasional jika kerajaan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan BPN khas kepada golongan ini sekiranya tempoh PKP ini dilanjutkan. Jika kerajaan boleh memperuntukkan bantuan khas tambahan kepada PKS, saya fikir golongan ini juga berhak untuk menerima bantuan tambahan sama,” katanya di dalam facebook.

Namun, kata beliau lagi sekiranya bantuan tambahan berbentuk tunai tidak dapat direalisasikan, setidaknya bantulah mereka dengan keperluan asas seperti bekalan makanan, beras dan sebagainya.

“Mengambil kira usia peniaga-peniaga kecil ini yang rata-rata terdiri daripada warga emas, wajar bantuan seperti ini dipertimbangkan. Kalau yang muda mungkin boleh mencari alternatif lain, namun bagi yang berusia mencecah 50 hingga 60 an apa alternatif lain yang boleh mereka buat. Segelintir mereka ada yang teknologi pun tidak mahir.

“Oleh itu, kiranya besarlah harapan saya jika kerajaan dapat mempertimbangkan saranan ini. Sekecil mana bantuan sekalipun, amat bermakna bagi mereka.

“Jadi bagi yang bernasib baik, teruslah kita bersyukur, berjimat-cermat, patuh arahan PKP dan sumbangkan bantuan jika termampu. Sama-sama kita berjuang melawan COVID – 19,” Ujarnya.- UMNO Online.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.