PKP: Kerajaan Perlu Laksana Mekanisme Lindungi Nasib Petani Luar Bandar – Raime Unggi

KUALA LUMPUR, 13 APRIL- Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi memohon agar kerajaan membuat mekanisme yang dapat melindungi nasib golongan petani di luar bandar kerana rata-rata daripada mereka tidak tahu kaedah bantuan atau kaedah pemasaran hasil pertanian mereka yang lebih sistematik dan selamat sepanjang tempoh  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegasnya, golongan petani harus dibela oleh kerajaan dengan ‘action speak louder than words’ perlu dipraktikkan kerajaan dalam memastikan kebajikan semua rakyat dilindungi sepanjang pelaksansaan PKP ini.

“Ke manakah hasil mereka dipasarkan apabila tidak ada pembeli atau pemborong? Apa peranan FAMA dalam membantu golongan petani yang mana hasil pengeluaran mereka tidak dapat dipasarkan atau lambat dipasarkan?

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan harus menggerakkan FAMA bagi membantu para petani. Mereka bukan saja rugi tetapi pendapatan seharian untuk keluarga dan anak-anak turut terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tenom,  jika dilihat kepada nasib petani kini ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang kesan PKP. 

“Saya ingin menyeru kerajaan melihat kembali mekanisme bantuan yang diguna pakai untuk golongan ini. Ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai KWSP malah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima tidak mencukupi.

“Sudah hampir masuk Fasa Ke-3 PKP dikuatkuasakan tetapi masih ada golongan petani di luar bandar tidak dapat menerima bantuan dan langkah yang diambil oleh kerajaan kurang membantu golongan petani.


“Pada saat bencana seperti ini, mungkin lebihan hasil pertanian dapat dipasarkan secepat yang mungkin menerusi harga yang berpatutan kepada FAMA,” katanya. 

Jelas Raime, beliau turut menerima aduan dari petani yang terjejas teruk terutamanya rantaian pasaran hasil pertanian seperti sayur-sayuran, pisang, durian, limau dan banyak lagi buah-buahan tempatan yang lain.

“Saya percaya petani yang terkesan akibat tidak terjual hasil pertanian mereka mengalami kerugian yang menyebabkan berlakunya pembaziran,” kata beliau lagi.

“Sektor pertanian amat penting kepada semua, tanpa petani kita tidak ada sumber makanan maka begitulah sebaliknya semuanya saling bergantung antara satu sama lain,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.